Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan bahawa agenda pembangunan pelancongan di Pulau Pinang tidak boleh dipisahkan daripada usaha konservasi alam semula jadi demi memastikan khazanah biodiversiti negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan yang seimbang amat penting bagi memastikan kemajuan sektor pelancongan tidak memberi kesan negatif terhadap ekosistem dan habitat semula jadi yang menjadi aset utama negeri. Katanya, Pulau Pinang mempunyai kekuatan tersendiri dalam sektor eko-pelancongan yang perlu dipelihara serta dipromosikan secara mampan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan acara pelepasan anak penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut di sini pada 15 Mei lalu. Turut hadir dalam program tersebut ialah beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri, wakil agensi berkaitan serta pegawai Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang.
Chow berkata, penyu merupakan ‘permata alam’ yang mempunyai nilai tinggi bukan sahaja dari sudut biodiversiti, malah dalam aspek pendidikan, penyelidikan dan pelancongan. Jelas beliau, Taman Negara Pulau Pinang khususnya kawasan Pantai Kerachut mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf antarabangsa menerusi aktiviti konservasi habitat penyu yang dijalankan sejak sekian lama.
Menurut beliau lagi, usaha konservasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia sejak tahun 1995 berjaya merekodkan ratusan pendaratan ibu penyu serta ribuan anak penyu yang berjaya ditetaskan dan dilepaskan semula ke laut. Katanya, pencapaian tersebut membuktikan bahawa usaha pemuliharaan yang konsisten mampu memberikan impak positif kepada kelestarian alam sekitar negeri.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa statistik pelawat ke pusat konservasi berkenaan menunjukkan peningkatan memberangsangkan setiap tahun. Sepanjang tempoh 2021 hingga April 2026, lebih 154,000 pelawat tempatan dan antarabangsa direkodkan mengunjungi pusat tersebut, sekali gus membuktikan bahawa konservasi alam sekitar mampu menjadi pemacu penting kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Walaupun pelbagai kejayaan dicapai, Chow mengakui usaha pemuliharaan habitat penyu masih berdepan cabaran seperti pencemaran laut, aktiviti manusia serta pembangunan pesisir pantai yang tidak terkawal. Justeru, beliau menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh usaha konservasi melalui kerjasama pelbagai agensi dan penyediaan sokongan sewajarnya demi memastikan khazanah alam semula jadi Pulau Pinang terus terpelihara untuk manfaat generasi masa depan.

