Wednesday, April 15, 2026
UtamaBeritaKerajaan Negeri perkasa pendidikan matematik menerusi program perintis ‘MathQuest’

Kerajaan Negeri perkasa pendidikan matematik menerusi program perintis ‘MathQuest’

Kerajaan Negeri terus memperkukuh ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pelancaran program perintis MathQuest yang memberi fokus kepada penguasaan asas matematik dalam kalangan pelajar sekolah di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo yang juga Pengerusi STEM negeri memaklumkan bahawa inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada strategi di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) STEM Pulau Pinang, yang dirangka bagi membina rantaian bakat mampan untuk menyokong industri utama negeri.

Menurut beliau, rangka tindakan berkenaan bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya merupakan pelan strategik yang menyokong sektor seperti elektronik termaju, teknologi perubatan dan inovasi digital yang menjadi tunjang kepada visi Penang2030.

“Matematik merupakan asas penting dalam semua bidang STEM. Melalui MathQuest, kita memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif, adaptif serta mudah diakses supaya tiada pelajar tercicir dalam menguasai kemahiran asas ini,” katanya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi ketika sidang media di pejabatnya di Komtar pada 14 April 2026.

Dalam pada itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat menzahirkan penghargaan kepada rakan industri seperti Flex dan Smith+Nephew serta beberapa pihak lain yang tampil sebagai penaja utama program tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa komitmen pihak industri melangkaui tanggungjawab sosial korporat (CSR), sebaliknya merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan tenaga kerja masa hadapan agar pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memenuhi keperluan industri.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa kejayaan program perintis ini memerlukan sokongan berterusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sebagai pemudah cara dalam memastikan penyertaan sekolah-sekolah di seluruh negeri.

Difahamkan, Pulau Pinang kini memiliki ekosistem STEM yang kukuh dengan penglibatan pelbagai institusi seperti Tech Dome Penang, Penang Science Cluster dan platform terbaharu, Penang Math Platform.

Kesemua pusat ini memainkan peranan penting dalam memupuk minat serta memperkasa kemahiran inovasi dan pemikiran kritikal dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Pengerusi Penang STEM Sdn. Bhd., Johnny Ong turut menyampaikan taklimat berhubung objektif serta kaedah pelaksanaan projek perintis MathQuest.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JPNPP, Mohamad Said Ibrahim; Pengurus Kanan Learning & Development Flextronics Technology Sdn. Bhd., D.M.M. Sanjeet; Pengurus Kanan merangkap Ketua CSR Smith & Nephew Operations Sdn. Bhd., Daniel Choo Hong Yee; Pengarah Hamochi Sdn. Bhd., Edison Chow Chee Hang; Pengurus Penang STEM Sdn. Bhd., Nurushsyakirah Ahmad Rushaidi.

Selain itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bakap Indah, Fadzilah Hasan; Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Mak Mandin, R. Nedumaran; Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Hashmam Abdarahim; serta Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana, Norzipah Binti Karim antara wakil sekolah yang hadir bagi menyertai sidang media mempromosikan projek perintis MathQuest.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments