Wednesday, April 15, 2026
UtamaBeritaTimbalan Ketua Menteri I pacu pendidikan STEM melalui Maker Lab di SMK...

Timbalan Ketua Menteri I pacu pendidikan STEM melalui Maker Lab di SMK Batu Maung

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung mencatat satu pencapaian penting apabila muncul sebagai sekolah ke-129 di negeri ini yang dilengkapi dengan kemudahan Maker Lab.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar menaik taraf kemudahan sedia ada, sebaliknya merupakan langkah strategik dalam mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan yang semakin berasaskan teknologi dan ilmu pengetahuan.

Maker Lab ini merupakan hasil transformasi bengkel Reka Bentuk dan Teknologi kepada ruang pembelajaran moden yang menyokong bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI), selaras dengan keperluan Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21).

“Ia sekali gus mengukuhkan ekosistem pembelajaran berteraskan inovasi, teknologi dan AI dalam kalangan pelajar,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-26 yang diadakan serentak dengan pelancaran Maker Lab serta Perkhemahan Perdana Unit Beruniform di sekolah tersebut pada 11 April 2026.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memaklumkan bahawa pelaksanaan Maker Lab di SMK Batu Maung direalisasikan melalui kerjasama pelbagai pihak, termasuk Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang menyumbang sebanyak RM50,000, selain peruntukan RM11,500 daripada pusat khidmat beliau sebagai ADUN.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 128 daripada 397 sekolah di Pulau Pinang telah dilengkapi Maker Lab, sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperluas pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi tersebut.

“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kemahiran kreativiti, inovasi dan penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar, selari dengan usaha memperkasa bidang STEM serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang telah mencapai liputan penuh penggunaan ‘smart board’ di sekolah-sekolah, dengan 85 unit diagihkan pada tahun lalu bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif.

Pada masa sama, Mohamad berkata SMK Batu Maung turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 6.47 pada tahun 2024 kepada 5.92 pada tahun 2025.

“Peratus kelulusan juga meningkat kepada 89.42 peratus, manakala jumlah pelajar yang lulus semua mata pelajaran turut meningkat kepada 36.54 peratus.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen tinggi para guru, sokongan ibu bapa serta kesungguhan pelajar dalam memperkukuh asas akademik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pembangunan pendidikan di negeri ini dipandu oleh Visi Penang2030 yang menekankan pendekatan progresif, inklusif dan berteraskan keluarga.

Selain itu, Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030) turut menjadi kerangka penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan melalui lima teras utama termasuk pendidikan, anak muda dan sosioekonomi.

“Di peringkat kawasan Batu Maung, saya turut menggerakkan Agenda MANTAP yang merangkumi aspek Muhibbah, Anak Muda, Nelayan, Taman, Akademik dan Progresif bagi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pembangunan sahsiah pelajar melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum seperti Perkhemahan Perdana Unit Beruniform yang dianjurkan.

“Aktiviti seperti ini mampu membentuk disiplin, kepimpinan dan jati diri pelajar. Inilah pendidikan holistik yang kita hasratkan, bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berakhlak serta berdaya saing,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar kerjasama berterusan antara pihak sekolah, PIBG dan ibu bapa diperkukuh bagi memastikan generasi muda dibentuk dengan nilai murni serta berupaya menghadapi cabaran global.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments