Thursday, April 30, 2026
UtamaBeritaKetua Menteri umum perancangan Pusat Pentadbiran baharu di Pulau Silikon

Ketua Menteri umum perancangan Pusat Pentadbiran baharu di Pulau Silikon

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow seolah-olah memberi isyarat bahawa sebuah pusat pentadbiran negeri baharu akan dibina di Pulau Silikon, tetapi ia tidak akan menggantikan sepenuhnya peranan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang sedia ada di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), George Town.

Beliau, yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi, menyatakan perkara itu selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 di sini pada 7 April 2026.

“Memang ada cadangan untuk pusat pentadbiran baru yang terdiri daripada beberapa bangunan. Perancangan seni bina bagi fasa tersebut telah siap, dan tanah akan tersedia pada tahun 2028. Sebaik tanah sedia digunakan, kerja pembinaan akan dimulakan,” jelas beliau kepada Buletin Mutiara.

Kon Yeow turut memaklumkan bahawa di Pulau Silikon, tanah seluas 68.52 ekar akan diserahkan kepada Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) pada bulan Mei ini untuk pembangunan depo dan stesen utama bagi mod pengangkutan awam berasaskan rel darat moden, iaitu projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Difahamkan, fasa pertama projek penambakan laut bagi mewujudkan pulau buatan seluas 1,270 ekar disasarkan siap pada tahun 2031. Sehingga Mac 2026, kemajuan fizikal di Pulau Silikon adalah konsisten dengan 330 ekar kawasan tambak telah siap.

Selain itu, Kon Yeow, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan, menjelaskan bahawa perbekalan air bersih dan terawat sedia ada di negeri ini mencukupi untuk menampung permintaan domestik dan sektor perindustrian apabila Pulau Silikon siap kelak.

Turut hadir dalam sidang media ialah Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Pulau Pinang, Dato’ TPr. Gs. Rozita Hamit; dan Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Dato’ Seri Farizan Darus.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments