BUKIT MERTAJAM, – Hampir RM2 bilion pembiayaan diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang memberi manfaat kepada 88,150 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pembiayaan itu merangkumi modal kerja, pembangunan aset serta peluasan operasi perniagaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa melalui kempen PowerUp 10K, sekurang-kurangnya RM100 juta diperuntukkan khusus bagi memperkukuh kapasiti kira-kira 100,000 usahawan tempatan. Inisiatif ini bertujuan membantu PKS bukan sahaja bertahan, malah berkembang dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar. 
Selain itu, program berkenaan juga memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan usahawan dalam aspek teknologi dan daya saing pasaran agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran semasa. 
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Balik Rumah One Hope Charity yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

