Friday, May 1, 2026
UtamaBeritaGotong-royong eratkan suasana hangat ketika berbuka puasa

Gotong-royong eratkan suasana hangat ketika berbuka puasa

SEMANGAT gotong-royong menyediakan juadah berbuka dan bubur lambuk menghidupkan suasana Ramadan di Kampung Permatang Ara, Permatang Pauh, Pulau Pinang apabila penduduk setempat dan kakitangan Bank Rakyat berganding bahu memasak juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada komuniti, baru-baru ini.

Aktiviti memasak itu antara pengisian Program Inisiatif Jangkauan Komuniti: Kampung Kita di bawah Program Kampung Angkat MADANI, sekali gus menghidupkan kembali semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang Ramadan.

Bank Rakyat pada kenyataan memaklumkan, program yang membawa tema Suara Hati sempena Ramadan dan Syawal tahun ini mencerminkan komitmen institusi itu untuk terus mendekati komuniti luar bandar serta memahami keperluan mereka khususnya golongan memerlukan.

Program itu turut diisi dengan solat Tarawih berjemaah dan moreh bersama penduduk kampung, sekali gus mengeratkan hubungan antara institusi kewangan itu dengan masyarakat setempat.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff serta Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat.

Dalam pada itu, Bank Rakyat turut menyalurkan sumbangan keseluruhan lebih RM164,000 bagi menyokong pembangunan komuniti di kawasan berkenaan.

Antara sumbangan disalurkan termasuk bantuan kewangan RM85,000 kepada 17 usahawan program iTEKAD-RAKYATpreneur B40 dari Kampung Permatang Ara bagi memperkasa ekonomi setempat.

Selain itu, bantuan asnaf RM30,000 diberikan kepada 150 penerima manakala RM7,000 diperuntukkan untuk mewujudkan Sudut Bacaan NURI di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Sireh.

Surau Permatang Ara turut menerima RM15,000 bagi menceriakan ruang mengaji selain sumbangan RM7,500 kepada 50 pelajar asnaf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir melalui Yayasan Bank Rakyat.

Pada masa sama, Penang Free School dan SK Stowell masing-masing menerima RM10,000 bagi menaik taraf kemudahan sekolah serta keceriaan pusat sumber.

Menurut Bank Rakyat, sumbangan itu sebahagian daripada pelaburan sosial institusi itu bagi meningkatkan akses pendidikan, memperkukuh institusi komuniti serta membantu golongan sasaran serta memperkasa ekonomi masyarakat setempat.

Kata bank itu, pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Pemilihan Kampung Permatang Ara sebagai Kampung Angkat MADANI mencerminkan keyakinan Bank Rakyat terhadap potensi komuniti setempat serta kesediaan institusi ini untuk terus bersama masyarakat dalam meningkatkan sosioekonomi secara mampan,” kata Bank Rakyat.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments