GEORGE TOWN – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) terus komited memperkasa pembangunan usahawan Bumiputera di negeri ini menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk Program Persijilan Halal PKS (perusahaan kecil dan sederhana) serta pelaksanaan program mentor usahawan.
Pengurus Besar PERDA, Mohd. Asri Baharom @ Harun berkata demikian ketika berucap pada Majlis Soft Launch Program Pensijilan Halal PKS PERDA 2026 dan Berbuka Puasa Bersama Media yang diadakan di The TOP Komtar pada 5 Mac 2026.
“Pengamal media memainkan peranan penting sebagai medium perantara dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat, sekali gus membantu memperluas capaian program pembangunan yang dirangka oleh PERDA.
“Sehubungan itu, majlis ini secara tidak langsung diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media atas sokongan berterusan dalam membantu menyampaikan maklumat berkaitan program serta inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh agensi ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri turut menyatakan bahawa PERDA memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat Pulau Pinang melalui pelbagai inisiatif, termasuk perumahan mampu milik, pembangunan insan serta latihan kemahiran.
“Dalam Rancangan Malaysia Ke-13, PERDA turut memperluas pelaksanaan Program Persijilan Halal PKS dengan tambahan peruntukan kira-kira RM250,000 termasuk RM150,000 khusus bagi membantu usahawan mendapatkan pensijilan halal.
“Malah, program ini menyasarkan sekurang-kurangnya 10 usahawan yang masih belum memiliki sijil halal untuk dibimbing secara menyeluruh melalui latihan, penyediaan dokumentasi, sesi audit bersama agensi berkaitan serta penambahbaikan premis bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan.
“Selain itu, PERDA turut memperkenal program mentor keusahawanan yang melibatkan kira-kira 50 mentor dalam kalangan usahawan berjaya untuk membimbing sekitar 30 usahawan baharu melalui pelaksanaan 16 siri kursus dan latihan pembangunan perniagaan,” katanya.
Menurut Mohd. Asri, proses pensijilan halal dilaksanakan dengan kerjasama agensi teknikal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan setiap usahawan mematuhi keperluan standard halal yang ditetapkan.



Tambahnya, PERDA turut bekerjasama rapat dengan Penang Halal International (PHI) serta agensi berkaitan bagi memudahkan akses usahawan kepada program pembangunan industri halal.
“Pengalaman menyertai forum halal antarabangsa seperti Makkah Halal Forum serta program industri di Shanghai turut menunjukkan bahawa logo halal Malaysia mendapat pengiktirafan tinggi dan mempunyai permintaan dalam pasaran global,” jelasnya lagi.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ALISSALA THIAN
Sumber:Buletin mutiara

