Thursday, April 30, 2026
UtamaBeritaFormula baharu Cukai Tanah 2026 lebih adil kepada semua pemilik tanah

Formula baharu Cukai Tanah 2026 lebih adil kepada semua pemilik tanah


GEORGE TOWN – Formula kiraan selepas semakan Cukai Tanah 2026 dilihat lebih adil kepada semua pemilik tanah, tanpa sebarang diskriminasi antara pemilik Tanah First Grade dan tanah bukan First Grade, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, ini berikutan kadar cukai tanah di Pulau Pinang tidak pernah disemak sejak lebih 30 tahun.

“Pada masa sama, semakan kadar cukai tanah ini juga dapat merapatkan jurang kadar cukai yang dibayar oleh pemilik tanah di bandar dan desa.

“Pulau Pinang telah membangun dengan pesat dalam aspek ekonomi, sosial serta infrastruktur dan tidak ada mana-mana kawasan dalam negeri ini yang ketinggalan dalam aspek pembangunan,” katanya dalam sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

image 27
Dr. Faizal Kamarudin menunjukkan formula pengiraan kadar baharu cukai tanah pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin serta Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menjelaskan bahawa kadar cukai tanah baharu yang telah menimbulkan pertikaian dan kebimbangan awam adalah dikira berdasarkan empat kriteria iaitu pengelasan tanah sama ada bandar atau luar bandar, keluasan tanah, kegunaan semasa serta kadar yang berkenaan.

image 29

Justeru, beliau menyeru kepada pemilik tanah yang tidak berpuas hati dengan kenaikan tersebut supaya mengemukakan rayuan kepada Pejabat Tanah untuk penilaian semula.

“Sila tampil ke hadapan dan buat rayuan dengan membawa semua dokumen yang ada kerana sekiranya masalah ini hanya diketengahkan di media, kami tidak akan mengetahuinya.

“Jangan mempersoalkan integriti pegawai (terlibat) kerana mereka bertindak mengikut undang-undang dan semua formula ini telah diwartakan.

“Jika ada asas yang kukuh serta memerlukan pengelasan semula, tindakan sewajarnya akan diambil,” ujarnya.

Kon Yeow menjelaskan bahawa kadar bagi tanah First Grade di bawah Condition A, B, C dan Kategori Tiada adalah ditentukan berdasarkan kegunaan semasa, dan kemudiannya disesuaikan dengan kategori atau kegunaan yang diwartakan pada 11 September 2025 dan dikenali sebagai Kaedah-Kaedah Tanah Pulau Pinang (Pindaan)(No.4) 2025.

“Sebagai contoh, jika kegunaan semasa tanah adalah kediaman, cukai dikira melalui kaedah mendarab keluasan tanah dengan kadar kediaman yang ditetapkan dalam peraturan yang diwartakan iaitu RM0.70 per meter persegi bagi tanah bandar dan RM0.50 per meter persegi bagi tanah luar bandar,” jelasnya.

Beliau turut menjawab dakwaan bahawa terdapat pemilik tanah yang menyaksikan cukai tanah mereka meningkat beribu kali ganda, dengan contoh bayaran meningkat daripada RM6 kepada RM19,400 atau daripada RM745 kepada RM489,775.

“Sekiranya berlaku perubahan kepada kegunaan di tapak contohnya, daripada penanaman padi pada kadar RM9.88 sehektar kepada kegunaan perindustrian pada kadar RM3.25 semeter persegi, maka cukai secara semula jadi akan meningkat berkali ganda.

“Contohnya, sebidang tanah seluas lima hektar (50,000 meter persegi), maka cukai tahunan boleh meningkat daripada RM50 kepada RM162,500 susulan perubahan kegunaan tanah,” ulasnya lanjut.

Kon Yeow turut menzahirkan kekesalan terhadap cubaan pihak tertentu yang sengaja mensensasikan dakwaan kenaikan cukai secara drastik tanpa memahami situasi sebenar kegunaan tanah dan asas pengiraan yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri.

Bagi memudahkan peralihan, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah memperkenalkan beberapa langkah, termasuk rebat sehingga 50 peratus, pengecualian penuh denda bayaran lewat serta asas rayuan yang lebih fleksibel.

“Langkah-langkah ini terpakai kepada semua pemilik tanah, termasuk pemilik tanah First Grade dan mereka yang terkesan akibat pengelasan semula tanah daripada luar bandar kepada bandar,” tambahnya.

Sementara itu, Faizal memberitahu bahawa hanya Pulau Pinang dan Melaka mempunyai tanah First Grade.

“Setakat ini, kami telah menerima 300 rayuan, dengan kira-kira 100 melibatkan tanah First Grade.

“Secara keseluruhan, kurang daripada satu peratus pemilik tanah yang membuat rayuan,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: SIEW CHIA EN
Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Sumber:Buletin mutiara

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments