Nibong Tebal: Permintaan tinggi ibu bapa terhadap kenderaan persendirian yang dijadikan bas sekolah atas faktor lebih mudah memasuki kawasan perumahan, selain tambang murah menjadikan perkhidmatan ‘haram’ itu dilihat semakin berleluasa.
Ia didedahkan menerusi Operasi Khas Bas Sekolah Haram dan Kenderaan Persendirian Tanpa Permit oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di kawasan Seberang Perai Selatan, di sini, semalam.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, operasi itu digerakkan susulan aduan orang awam mengenai peningkatan aktiviti kenderaan persendirian yang dijadikan bas sekolah tanpa permit yang sah.
Katanya, sebanyak tujuh kenderaan persendirian diambil tindakan di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM), iaitu kenderaan persendirian digunakan untuk membawa penumpang awam.
“Ketika disoal, kebanyakan pemandu memberikan alasan mereka melakukan khidmat itu kerana mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa, selain bayaran tambang lebih murah (berbanding perkhidmatan sah).
“Ibu bapa hanya membayar lebih kurang RM100 hingga RM130 sebulan mengikut jarak, namun tidak fikir soal keselamatan anak mereka, apatah lagi pemeriksaan mendapati kenderaan yang digunakan tiada permit sah daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk beroperasi membawa penumpang awam khususnya murid sekolah,” katanya ketika ditemui.
Tegas Zulkifly, walaupun perkhidmatan itu murah dan mudah didapati, risiko ke atas keselamatan anak adalah sangat tinggi.
“Terdapat beberapa sebab utama mengapa perkhidmatan haram ini perlu dijauhi, antaranya tiada perlindungan insurans, kenderaan tidak dipantau dan pemandu tidak disaring yang boleh mengundang bahaya kepada keselamatan pelajar,” katanya.
Beliau menasihati ibu bapa agar lebih peka dan tidak menggunakan perkhidmatan bas sebarangan dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan membelakangkan keselamatan penumpang.
“Tindakan undang-undang yang tegas diambil, termasuk penyitaan kenderaan dan pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Sumber:Harian metro

