GEORGE TOWN, 22 Februari – Kepelbagaian agama dan budaya tidak menghalang sambutan Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk program larian yang mendapat sambutan menggalakkan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tahun ini lebih 30 acara rasmi dianjurkan kerajaan negeri, pusat khidmat wakil rakyat serta pertubuhan tempatan, tidak termasuk program berasingan oleh badan komuniti.
Menurut beliau, penganjuran pelbagai acara itu bukan sahaja menyemarakkan suasana perayaan, malah berjaya menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Mengulas mengenai program Occupy Beach Street New Year Run, beliau berkata acara tersebut mula diperkenalkan pada 2017 sebagai satu larian santai sempena Tahun Baharu Cina.
“Ia bertujuan membawa rakyat ke satu pentas untuk berinteraksi, menjalankan aktiviti riadah yang sihat serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Tahun ini, kira-kira 3,000 peserta mengambil bahagian,” katanya.
Acara larian sejauh lima kilometer itu turut menarik penyertaan peserta dari 20 negara.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas melepaskan peserta larian berkenaan di George Town, pagi tadi.
Sumber:Berita rtm

