Friday, May 1, 2026
UtamaBeritaKesalahan ejaan nama makanan dipandang remeh di bazar Ramadan

Kesalahan ejaan nama makanan dipandang remeh di bazar Ramadan

GEORGE TOWN – Suasana meriah bazar Ramadan yang saban tahun menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian juadah berbuka puasa, malah turut memaparkan wajah bahasa yang digunakan pada papan tanda dan sepanduk gerai.

Namun, di sebalik kemeriahan itu, masih wujud kecuaian dalam aspek penggunaan ejaan yang betul sehingga menimbulkan persoalan tentang tahap kepekaan peniaga terhadap Bahasa Kebangsaan.

Tinjauan di beberapa bazar Ramadan sekitar negeri ini mendapati masih ramai peniaga tidak mengambil berat soal penggunaan ejaan yang betul pada papan tanda dan sepanduk gerai masing-masing.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk perkataan ‘martabak’ dieja sebagai ‘murtabak’, ‘sate’ dieja ‘satay’, ‘donat’ ditulis ‘donut’, selain ‘nasi beriani’ dieja sebagai ‘briyani’ serta ‘nanas’ ditulis ‘nenas’.

Lebih menyedihkan, perkataan ‘Ramadan’ dieja sebagai ‘Ramadhan’.

image 102
Ejaan Ramadan antara kesalahan dikesan.

Selain itu, penggunaan bahasa rojak dan loghat tempatan seperti ‘ayaq’ atau ‘aiq’ bagi menggantikan ‘air’ turut kelihatan pada beberapa papan tanda gerai.

Seorang pengunjung, Muhammad Amirulfahmi Rosly, 32, berkata, penggunaan ejaan yang tidak tepat seolah-olah dipandang remeh walaupun bazar Ramadan menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong asing.

image 104
Muhammad Amirulfahmi.

“Bazar Ramadan bukan sekadar tempat jual beli makanan, tetapi juga mencerminkan budaya dan identiti kita. Bila ejaan pun salah, ia beri gambaran kurang profesional,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengunjung, Ridzuan Abdullah Anuar, 36, berkata, peniaga sepatutnya lebih cakna kerana papan tanda adalah medium komunikasi utama dengan pelanggan.

image 105

Ridzuan Abdullah.

“Kalau kita sendiri tak biasakan ejaan yang betul, macam mana nak didik generasi muda? Tambahan pula, sekarang ramai pelancong datang ke bazar Ramadan untuk merasai suasana berbuka puasa,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Azman mengakui kebanyakan sepanduk dibuat secara tempahan segera tanpa semakan terperinci.

“Kami lebih fokus pada jualan dan persediaan makanan. Soal ejaan kadang-kadang terlepas pandang, asalkan pelanggan faham apa yang dijual,” katanya. 

Sumber:MalaysiaGazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments