Saturday, May 2, 2026
UtamaBeritaUmat Islam perlu bersederhana, elak pembaziran di bulan Ramadan

Umat Islam perlu bersederhana, elak pembaziran di bulan Ramadan

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa umat Islam supaya menjalani ibadah puasa dengan penuh kesederhanaan kerana Ramadan itu sendiri mengajar umatnya supaya bersikap sederhana.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, akhbar tempatan baru-baru ini yang mendakwa bufet berbuka puasa begitu rancak dipromosi pihak hotel sehingga ada yang melangkaui harga RM300 seorang menimbulkan persoalan mengenai tujuan berpuasa sama ada bagi berpesta makan atau beribadah.

Katanya, walaupun harga melambung, beberapa hotel memaklumkan bahawa tempahan harian bagi berbuka di kafe dan restoran mereka yang boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan sudah hampir penuh.

“Adakah ini satu keperluan atau kehendak? Bufet Ramadan sering dikaitkan dengan pembaziran wang dan makanan, malah bertentangan sekali dengan Ramadan yang sering dikaitkan dengan nilai kesyukuran, disiplin diri sikap keprihatinan terhadap orang lain.

“Ketika sebahagian besar daripada umat Islam lain yang masih tidak mampu bagi bermewah dengan makanan atau lebih malang lagi tiada makanan untuk dimakan kerana kesempitan hidup, ada pihak yang sanggup membelanjakan wang dengan begitu boros,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, Islam mengajar umatnya bagi mengelak daripada bersikap rakus, pembaziran dan boros.

“Ramadan sepatutnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam supaya bersikap sederhana, berjimat cermat dan tidak melampaui batas.

“Tetapi sebaliknya yang berlaku apabila tiba bulan penuh keberkatan ini, ramai berbelanja besar bagi juadah berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri yang menuntut perbelanjaan berganda daripada bulan lain.

“Berbelanja secara berlebihan merupakan suatu sikap yang tidak baik dan membazir. Tujuan utama kita berpuasa adalah bagi merasai kelaparan yang dialami golongan miskin dan terpinggir supaya kita mempunyai sikap empati kepada mereka,” katanya.

Menurut Mohideen, ramai dalam kalangan saudara seagama kita yang berada di negara bergolak, berdepan dengan kebuluran.

Katanya, golongan berada seharusnya berkongsi rezeki dengan mereka yang tidak bernasib baik, miskin dan memerlukan dan tidak sepatutnya mengamalkan gaya hidup bermewah-mewah apatah lagi membazir.

“Kekayaan yang ada sepatutnya digunakan bagi membantu golongan miskin dan terpinggir supaya mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan dan penindasan serta menyokong program amal jariah.

“Setiap tahun kita menjalani ibadah berpuasa malangnya Ramadan yang kita lalui pada tahun sebelum ini seolah-olah tidak memberi pengajaran serta kesan terhadap kehidupan seharian.

“Jadikan Ramadan ini sebagai bulan meningkat lagi keimanan dengan menunai ibadah yang wajib dan sunat memandangkan amat rugi sekali sekiranya keberkatan di bulan ini tidak direbut bagi menggandakan amal kebaikan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments