KEPALA BATAS, 3 Februari – Kadar zakat fitrah di Pulau Pinang bagi Ramadan tahun ini ditetapkan pada RM10, RM15 dan RM25 mengikut jenis beras yang menjadi kebiasaan makanan asasi pembayar, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Beliau berkata, kadar RM10 ditetapkan bagi beras putih import seperti Thai White Rice atau yang setara dengannya, RM15 bagi beras rebus dan beras perang atau yang setara, manakala RM25 dikenakan bagi beras wangi, beras pulut, beras herba ponni, beras Calrose, beras basmati atau yang setara dengannya.
“Tahun ini kita menyasarkan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM239 juta, manakala sasaran kutipan zakat fitrah ditetapkan sebanyak RM10.2 juta.
“Sasaran ini diyakini mampu dicapai melalui sokongan berterusan masyarakat, kerjasama semua pihak serta pendekatan yang lebih tersusun dan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2026 di sini sebuah hotel di Bertam di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Mohamad memaklumkan seramai 1,686 orang amil zakat fitrah dilantik di seluruh Pulau Pinang bagi tahun ini, melibatkan 239 qariah.
Tambah Mohamad, zakat MAINPP akan melaksanakan penggunaan Aplikasi Smart Amil bermula tahun ini sebagai langkah penambahbaikan dalam pengurusan amil zakat fitrah di seluruh negeri.
“Aplikasi berkenaan berfungsi sebagai platform digital bersepadu yang membolehkan proses kutipan, rekod transaksi dan pelaporan dilaksanakan dengan lebih sistematik, tepat dan telus, selain mempercepatkan pemantauan serta pengauditan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad mengumumkan peruntukan Sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada masjid negeri dan masjid-masjid daerah berjumlah RM265,000, selain sumbangan pengimarahan masjid dan solat tarawih berjumlah RM1 juta kepada seluruh masjid di negeri ini. – MalaysiaGazette

