Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, menegaskan bahawa usaha mewujudkan persekitaran bebas asap rokok memerlukan komitmen politik yang kukuh, tadbir urus berkesan serta sokongan berterusan seluruh masyarakat.
Menurut beliau, kejayaan menjadikan sesuatu kawasan bebas asap rokok bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam masa singkat, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang, kerjasama antara agensi, penguatkuasaan konsisten dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan awam.
Chow turut menggesa semua pihak supaya memperhebat usaha menangani kemunculan produk nikotin baharu, termasuk rokok elektronik (vape), produk tembakau yang dipanaskan dan kantung nikotin (nicotine pouches).
Beliau menjelaskan bahawa perkembangan produk berkenaan mewujudkan cabaran baharu kepada pendekatan kawalan tembakau tradisional, khususnya dari segi keberkesanan perundangan dan pelaksanaan penguatkuasaan.
Kemunculan produk yang semakin pelbagai juga menuntut pihak berkaitan supaya lebih bersedia menghadapi perubahan corak penggunaan nikotin dalam masyarakat.
Sehubungan itu, Chow menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi penguat kuasa dan komuniti bagi memastikan usaha kawalan tembakau dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan pesat produk nikotin baharu tidak semestinya menunggu undang-undang sedia ada dikemas kini, justeru pendekatan yang lebih proaktif amat diperlukan.
Persekitaran bebas asap rokok bukan sekadar bergantung kepada penguatkuasaan, tetapi juga tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan generasi akan datang

