Perpustakaan Digital Pulau Pinang (Penang Digital Library) mencatat pencapaian lebih satu juta kunjungan terkumpul di seluruh cawangannya sejak mula beroperasi pada tahun 2016 hingga Oktober 2026, sekali gus membuktikan kepentingan kemudahan pembelajaran digital dalam memperluas akses masyarakat kepada ilmu pengetahuan dan teknologi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, berkata pencapaian sempena ulang tahun ke-10 perpustakaan tersebut mencerminkan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan sektor swasta dalam membangunkan kemudahan pembelajaran moden yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.
Menurut Chow, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan teknologi digital memerlukan kemudahan pembelajaran seperti Perpustakaan Digital Pulau Pinang terus berkembang seiring dengan perubahan semasa.
Sehubungan itu, perpustakaan berkenaan bakal diperkasakan melalui transformasi ke arah hab teknologi, kreativiti dan inovasi, yang bukan sahaja menyediakan akses kepada bahan bacaan serta pembelajaran digital, malah berperanan memperluas pendedahan masyarakat terhadap perkembangan teknologi baharu.
Pendekatan tersebut penting bagi memastikan kemudahan pendidikan terus relevan dengan keperluan generasi masa kini dan akan datang.
Dalam masa sama, Chow menekankan bahawa generasi muda tidak seharusnya menjadi pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menguasai teknologi serta menghasilkan inovasi sendiri.
Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran digital yang lebih inklusif. Melalui hala tuju baharu ini, Perpustakaan Digital Pulau Pinang diharap dapat menjadi platform pembangunan bakat, kreativiti dan kemahiran teknologi, sekali gus menyokong usaha negeri melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing dalam era ekonomi digital

