Kawasan lapang seluas lebih 3,700 meter persegi di Taman Kelisa, Seberang Perai Tengah bakal dinaik taraf sebagai Taman Madani ketiga di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Projek bernilai RM500,000 itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh 20 minggu.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, taman berkenaan akan dilengkapi laluan pejalan kaki, permainan kanak-kanak, alat senaman, bangku taman, lampu solar serta gelanggang serbaguna untuk aktiviti pickleball dan sepak takraw, sekali gus menyediakan lebih banyak ruang riadah kepada komuniti setempat.
Elemen Universal Design turut diterapkan bagi memastikan kemudahan taman lebih inklusif, selesa dan mudah digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Jason berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta dijaga bersama oleh komuniti supaya terus memberi manfaat dalam jangka panjang

