Pulau Pinang mengukuhkan kedudukannya dalam industri logam berharga menerusi pembukaan pusat penapisan emas bertaraf antarabangsa pertama Malaysia oleh Public Gold Group di Taman Perindustrian Batu Kawan.
Fasiliti bernilai RM30 juta di tapak seluas 1.14 ekar itu mampu memproses sehingga 10 tan emas setahun, dengan kapasiti boleh ditingkatkan kepada 20 tan mengikut permintaan, selain dijangka mewujudkan kira-kira 1,000 pekerjaan langsung.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan pembukaan fasiliti itu sebagai pencapaian penting kepada Pulau Pinang dan industri logam berharga negara.
Menurut beliau, kekuatan negeri dalam sektor pembuatan, teknologi, kejuruteraan dan perdagangan antarabangsa kini dilengkapi keupayaan pemprosesan logam berharga termaju, sekali gus memperkukuh potensi Pulau Pinang sebagai hab emas dan barang kemas serta membuka peluang kepada pembekal tempatan, logistik, kejuruteraan dan perkhidmatan penyelenggaraan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong pula berkata Pulau Pinang kini menyumbang sekitar 70 peratus pengeluaran barang kemas emas Malaysia, sekali gus mempunyai asas kukuh untuk membangunkan ekosistem emas yang lebih besar.
Fasiliti baharu Public Gold yang mematuhi Malaysia Gold Standard (MyGS) dan piawaian London Bullion Market Association (LBMA) itu dijangka membantu meningkatkan nilai tambah industri, membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh daya saing Malaysia dalam pasaran logam berharga global.

