GEORGE TOWN, 9 Disember 2025 – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempergiatkan kerja pembaikan di Jalan Batu Ferringhi berhampiran Moonlight Bay bagi memastikan lorong yang ditutup dapat dibuka semula dengan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, berapa langkah dikenal pasti bagi kelancaran pembaikan itu hasil perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang.
“Antara langkah segera yang dilaksanakan ialah menempatkan penyelia tapak dan flagman bagi mengawal aliran trafik serta memastikan kelancaran perjalanan kenderaan.
“Kerja-kerja konkrit juga dilanjutkan hingga waktu malam bagi mempercepatkan keseluruhan projek. Keutamaan ketika ini adalah memastikan laluan kembali boleh digunakan dengan selamat tanpa menjejaskan struktur asas,” katanya.
Menurut Zairil Khir, tenaga kerja tambahan akan ditempatkan di lokasi bagi memastikan tugasan dapat dijalankan dengan lebih cepat serta mengurangkan kelewatan.
“Sasaran pembukaan semula laluan ini adalah pada 20 Disember ini namun bergantung kepada penilaian kekuatan asas jalan yang sedang dilakukan.
“Walaupun laluan dibuka kelak, kerja-kerja pemulihan tetap diteruskan sehingga semuanya selesai,” katanya.
Sebelum ini, Zairil Khir memaklumkan penutupan lorong dijangka berlanjutan sehingga 31 Disember ini dan perkembangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang berdepan kesesakan setiap hari.
Beberapa pihak turut menyuarakan kebimbangan bahawa cuti sekolah akan memburukkan lagi kesesakan trafik. – MalaysiaGazette

