Thursday, January 15, 2026
UtamaBeritaBatik Air jadikan Pulau Pinang hab utara

Batik Air jadikan Pulau Pinang hab utara

KUALA LUMPUR, 9 Disember 2025 – Batik Air memperluaskan rangkaiannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dengan melancarkan dua laluan baharu menghubungkan negeri itu ke Singapura (SIN) dan Kualanamu, Medan (KNO).

Langkah itu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pintu masuk utama di bahagian utara negara selain memperluas capaian Batik Air dalam pasaran serantau.

Menurut syarikat penerbangan itu, Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar pelancong antarabangsa ke Malaysia dengan 14 juta ketibaan direkodkan dari Januari hingga Ogos tahun ini dengan peningkatan 18.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Laluan Penang–Singapura dijangka memenuhi permintaan tinggi untuk percutian jarak dekat, percutian hujung minggu dan perjalanan perniagaan.

Manakala bagi laluan Penang–Medan, Batik Air berkata, ia akan memenuhi peningkatan permintaan pelancongan perubatan serta kesejahteraan dari Indonesia selain memberi lebih banyak pilihan perjalanan santai ke utara Malaysia, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, Pulau Pinang telah lama menjadi pangkalan strategik Batik Air di utara Malaysia dengan tambahan laluan baharu ke Singapura dan Medan.

“Ia melengkapi rangkaian sedia ada ke Kuala Lumpur (KLIA dan SZB) serta Jakarta (CGK) dan peranan Pulau Pinang sebagai hab utara semakin kuat sekali gus membuka akses terus ke pasaran serantau yang penting.

“Pengembangan ini sebahagian daripada visi kami untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah pintu masuk yang menyokong pelancongan, perniagaan dan perjalanan perubatan selain membina rangkaian penerbangan masa depan yang bersedia memenuhi kehendak penumpang.

“Dengan ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2026, sambungan baharu ini akan menjadi pemangkin kemasukan lebih ramai pelawat ke rantau ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai turut mengalu-alukan perkembangan tersebut sambil menyifatkan pengembangan berterusan Batik Air di Pulau Pinang mencerminkan keyakinan tinggi terhadap negeri ini sebagai pintu masuk utama Malaysia Utara.

“Laluan ke Singapura dan Medan bukan sahaja meningkatkan keterhubungan serantau tetapi turut menyokong industri tempatan menerusi kemasukan pelawat antarabangsa.

“Pulau Pinang komited bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026,” ujarnya.

Pelancaran dua laluan itu membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perniagaan dan pelancongan perubatan, menjadikan akses ke Singapura dan Indonesia lebih mudah untuk pengembara dari utara Malaysia.

Untuk maklumat lanjut atau menempah perjalanan, pelanggan boleh memuat turun aplikasi mudah alih Batik Air atau melayari www.batikair.com.my. – MalaysiaGazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments