Wednesday, December 17, 2025
UtamaBeritaPM Anwar rasmi UTC Seberang Perai, beri manfaat lebih sejuta penduduk sekitar

PM Anwar rasmi UTC Seberang Perai, beri manfaat lebih sejuta penduduk sekitar

BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terletak di Terminal Pengangkutan Penang Sentral, Butterworth.

UTC kedua di Pulau Pinang selepas yang pertama di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), dan ke -24 di seluruh negara itu memberi manfaat kepada sejuta penduduk sekitar Seberang Perai, Selatan Kedah, dan Utara Perak.

Penubuhan UTC ini menjadi penanda aras baharu kepada pusat transformasi bandar di seluruh negara dengan penekanan terhadap prinsip kecekapan, keselesaan, dan kemesraan pengguna.

UTC yang terletak di hab pengangkutan bersepadu mengintegrasikan kereta api, bas, feri, dan teksi itu dibina oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mengikut garis panduan Kementerian Kewangan (MOF) hasil kerjasama strategik di antara MOF dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ia menempatkan Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), klinik kesihatan pergigian, dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang akan beroperasi setiap hari, Isnin hingga Ahad, dari jam 8 pagi hingga 9 malam.

Selain itu, turut disediakan Kiosk Madani yang beroperasi 24 jam, menawarkan perkhidmatan enam agensi secara layan diri, termasuk JPJ, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan MyDigital ID.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira sejam melawat kaunter-kaunter agensi kerajaan di UTC berkenaan.

Sementara itu, rakyat Pulau Pinang yang ditemui menyambut baik pembukaan UTC kedua di negeri ini. Kakitangan swasta, Noor Ermi Yantul Nazrin Mohd Zainal,32, berkata perkhidmatan kaunter berpusat seperti ini amat diperlukan penduduk di kawasan Seberang Perai.

Malah, menurutnya, dengan pembukaan UTC ini, penduduk sekitar tidak lagi perlu ke Sungai Petani, Kedah atau ke Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di George Town.

“Ambil cuti sehari, dapat selesaikan semua urusan. Banyak kemudahan, tak perlu pergi banyak tempat,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Mohamad Nizam Abdullah, 53, yang menyifatkan suasana di UTC amat selesa dan tidak sesak.

“Tak perlu ke balai atau pejabat berasingan, semua ada di sini. Urusan jadi cepat dan mudah,” ujarnya.

Sumber :Astro Awani

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments