Tuesday, February 10, 2026
UtamaBeritaAplikasi baharu Rapid On-Demand ganti Kummute di Pulau Pinang, mudahkan pengguna buat...

Aplikasi baharu Rapid On-Demand ganti Kummute di Pulau Pinang, mudahkan pengguna buat tempahan

GEORGETOWN: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) yang mengendalikan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand, melaksanakan peralihan aplikasi tempahan baharu Rapid On-Demand menggantikan penggunaan aplikasi Kummute bermula 15 November ini.

Peralihan itu membolehkan pengguna membuat tempahan perjalanan dengan lebih mudah dan pantas di semua zon perkhidmatan Rapid Penang On-Demand.

Ia juga sebahagian daripada penyelarasan menyeluruh dilaksana Rapid Bus di Pulau Pinang dan Lembah Klang bagi menyatukan platform tempahan, selain memperkukuh sistem operasi serta mempertingkat kemudahan digital kepada pengguna.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, berkata aplikasi Rapid On-Demand menampilkan muka baharu yang lebih mesra pengguna, dilengkapi fungsi dipertingkat seperti penetapan lokasi jemputan, paparan masa ketibaan kenderaan secara masa nyata dan kemas kini status tempahan secara langsung bagi memastikan pengalaman tempahan lebih lancar dan efisien.

“Peralihan kepada aplikasi Rapid On-Demand di Pulau Pinang ini bukan saja memudahkan proses tempahan, tetapi turut meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan.

“Ia melengkapi usaha penyelarasan aplikasi di semua wilayah operasi kami, supaya setiap pengguna menikmati pengalaman perjalanan lebih baik, mudah dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan media, pada 10 November 2025.

Aplikasi Rapid On-Demand boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan Apple App Store.

Pengguna Kummute sedia ada disaran beralih kepada aplikasi baharu ini sebelum 15 November bagi memastikan akses kepada perkhidmatan berjalan lancar tanpa gangguan.

Sementara itu, promosi tambang RM1 bagi setiap perjalanan akan diteruskan bagi semua pengguna Rapid Penang On-Demand di 11 zon perkhidmatan, dengan kaedah pembayaran menerusi kad debit atau kredit, DuitNow QR, e-Dompet, Pas Perjalanan Tanpa Had Mutiara atau Pas Rapid Mesra (dulu dikenali sebagai Pas OKU Smile).

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai zon liputan dan cara penggunaan aplikasi, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid Penang atau melayari laman web di www.myrapid.com.my

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments