GEORGE TOWN, 4 November 2025 – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri yang masih belum menguatkuasakan larangan penjualan vape dan rokok elektronik supaya segera berbuat demikian demi melindungi kesihatan remaja serta pelajar sekolah.
Pegawai Kanan Pendidikan dan Aktivis Anti Merokok CAP, NV. Subbarow berkata, penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar kini semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera pihak berkuasa negeri.
Beliau berkata, hasil tinjauan dan kempen kesedaran anjuran CAP baru-baru ini mendapati tabiat menghisap vape tidak lagi tertumpu di sekolah menengah, malah sudah menular ke sekolah rendah di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Perak.
“Sebelum ini masalah vape banyak dilihat di sekolah jenis kebangsaan, tetapi kini ia merebak ke sekolah lain pula.
“Kami hairan mengapa masih ada negeri belum mengumumkan larangan penjualannya,” katanya, di sini.
Subbarow menegaskan, isu berkenaan bukan sekadar soal disiplin, sebaliknya membabitkan aspek kesihatan awam yang serius dan perlu diberi perhatian segera.
“Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang sudah mengambil langkah tegas dengan tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik.
“Negeri lain perlu segera menyusul supaya tiada ruang untuk penjualan produk berisiko ini,” katanya.
Subbarow berkata, kesan penggunaan vape bukan sahaja merugikan kesihatan pengguna, malah menambah beban kewangan kerajaan dalam rawatan penyakit berkaitan paru-paru.
“Kerajaan terpaksa membelanja berjuta ringgit untuk merawat penyakit seperti EVALI, yang berpunca daripada penggunaan rokok elektronik.
“Kesihatan generasi akan datang jauh lebih penting daripada keuntungan individu,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, kerajaan menganggarkan antara RM300 juta hingga RM400 juta perlu dibelanjakan menjelang 2030 bagi merawat penyakit berkaitan EVALI manakala RM244.8 juta sudah digunakan setakat ini. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

