Monday, March 9, 2026
UtamaBeritaIndividu berusia 20 hingga 39 tahun dominasi HIV di P.Pinang

Individu berusia 20 hingga 39 tahun dominasi HIV di P.Pinang

GEORGE TOWN, 2 November 2025 – Kes jangkitan HIV dalam kalangan golongan muda di Pulau Pinang menunjukkan trend peningkatan membimbangkan sejak lima tahun kebelakangan ini, dengan majoriti pesakit berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Fazilah Shaikh Allaudin berkata, bagi tempoh antara 2020 hingga 2024, sebanyak 38.1 peratus kes direkodkan dalam kalangan individu berusia 20 hingga 29 tahun, manakala 29.8 peratus melibatkan mereka berumur 30 hingga 39 tahun.

“Secara keseluruhan, 67.9 peratus daripada kes HIV yang direkodkan di negeri ini datang daripada kumpulan muda berusia 20 hingga 39 tahun.

“Pada tahun lalu sahaja, terdapat 232 kes baharu dengan kadar notifikasi 12.89 bagi setiap 100,000 penduduk sekali gus melebihi kadar kebangsaan,” katanya pada program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Daerah Timur Laut sempena Karnival Sihat Tanpa Aids Peringkat Negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhebat usaha kesedaran awam melalui pelbagai kempen dan aktiviti pendidikan, termasuk di sekolah serta institusi pengajian tinggi.

“Kesedaran awal amat penting bagi membendung jangkitan dalam kalangan belia dan remaja.

“Justeru, pelbagai inisiatif kini dilaksanakan secara berterusan melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah, Dr James Loh, pula berkata, data semasa menunjukkan aktiviti seks bebas menjadi punca utama jangkitan HIV di negeri ini berbanding faktor penggunaan jarum suntikan yang lebih dominan suatu ketika dahulu.

“Berdasarkan kes yang diterima, sebanyak 99.9 peratus jangkitan berpunca daripada hubungan seks tanpa perlindungan. Ia peningkatan ketara berbanding satu dekad lalu,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menjalani ujian saringan HIV di hospital dan klinik kerajaan, yang boleh dilakukan dengan kadar bayaran hanya RM1 dan keputusan diperoleh dalam masa 20 minit.

“Sekiranya keputusan saringan awal positif, ujian pengesahan akan dilakukan dan keputusannya akan diketahui dalam tempoh dua hari,” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber : Malaysia Gazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments