GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menyeru lebih 200 pekebun durian di seluruh negeri ini untuk segera mendaftar dengan Jabatan Pertanian bagi melaksanakan sistem pemantauan pintar ‘Track and Trace’.
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, ia merupakan inisiatif dalam membanteras lambakan durian tiruan serta memulihkan kepercayaan pengguna terhadap keaslian raja buah tempatan di negeri ini.
Jelasnya, ia juga merupakan sebahagian daripada pendekatan holistik kerajaan negeri bagi memastikan hanya durian tulen dan berkualiti tinggi dipasarkan, sejajar dengan imej Pulau Pinang sebagai antara pengeluar durian terbaik di negara ini.
“Teknologi Track and Trace dibangunkan dengan kerjasama MIMOS Berhad dan membolehkan setiap durian dijejak dari ladang hingga ke tangan pembeli menggunakan kod QR.
“Melalui sistem ini, pengguna boleh mengimbas kod QR pada setiap buah bagi mengetahui maklumat lengkap termasuk lokasi kebun, pemilik dan jenis klon.
“Ia bukan sahaja menjamin ketulenan durian, malah memberi kelebihan daya saing kepada pekebun,” katanya pada sidang media di Komtar di sini, semalam.
Tambah Fahmi, sehingga kini hampir 60 pekebun telah menyatakan kesediaan untuk menyertai inisiatif itu.
“Pelaksanaan sistem ini akan bermula 1 Jun dan kerajaan negeri bercadang menjadikannya pra syarat kepada pekebun durian.
“Pekebun yang mematuhi penggunaan tag ini akan diberi keutamaan untuk mendapat bantuan, penyertaan program promosi serta penglibatan dalam festival anjuran kerajaan.
“Selain itu, semua permohonan tag mestilah dibuat sendiri oleh pekebun dengan dokumen pemilikan tanah yang sah,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : MalaysiaGazette

