KUALA LUMPUR: Semua pihak berkepentingan terutama ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan lebih aktif dan bertanggungjawab dalam memastikan pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta tidak meninggalkan pendidikan secara awal.
Pensyarah Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hasnah Toran berkata, kecenderungan pelajar memilih bekerja berbanding meneruskan pelajaran boleh membawa kesan jangka panjang serius kepada negara.
Beliau menegaskan pihak sekolah perlu segera mengaktifkan mekanisme intervensi dalaman mereka termasuk penglibatan kaunselor dan guru disiplin.
Katanya, ia penting bagi mengenal pasti pelajar berisiko serta menangani cabaran dihadapi sebelum mereka tercicir.
“Kami menyeru semua pihak berkuasa berkaitan, khususnya pihak kepimpinan sekolah, untuk mengambil langkah segera dan proaktif.
“Jika pelajar tercicir SPM ini terus terlepas daripada perhatian, masyarakat dan kerajaan akan menanggung akibatnya pada masa akan datang,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan ketika sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2024 berkata lebih separuh daripada 6,246 calon yang tidak hadir peperiksaan awam itu tahun lalu SPM disebabkan sudah bekerja.
Selain 57.8 peratus sudah bekerja majoriti di luar zon persekolahan masing-masing, beliau berkata 35.5 peratus daripada calon yang tidak hadir menghadapi pelbagai masalah berkaitan keluarga dan 4.7 peratus lagi menghadapi masalah kesihatan.
Bagaimanapun Azman berkata secara keseluruhan berlaku penurunan membabitkan angka mereka yang tidak untuk menduduki SPM pada 2024 yang mewakili 1.8 peratus daripada keseluruhan calon peperiksaan awam itu tahun lalu, berbanding 8,676 (2.5 peratus) pada 2023.
Dr Hasnah ketika mengulas lanjut berkata, tanda awal seperti ponteng sekolah berterusan boleh membantu pihak sekolah mengenal pasti pelajar berisiko beberapa bulan sebelum peperiksaan.
“Ponteng sekolah antara petunjuk paling jelas. Mereka kerap tidak hadir ke sekolah sering kali pelajar yang akhirnya tidak menduduki SPM,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengingatkan masyarakat tidak mudah menghukum pelajar yang memilih untuk bekerja awal, kerana ramai dalam kalangan mereka terpaksa berbuat demikian akibat tekanan kewangan demi menyara keluarga.
“Orang ramai sering bertanya – “Di mana ibu bapa mereka?” – hakikatnya tidak semua kanak-kanak bernasib baik mempunyai ibu bapa yang bertanggungjawab.
“Ramai dalam kalangan mereka daripada keluarga yang telah gagal menerima sokongan sewajarnya,” katanya.
Tambah beliau, sekolah perlu melangkaui peranan sebagai institusi pendidikan semata-mata – sebaliknya harus membantu menghubungkan keluarga kepada bantuan yang sewajarnya, termasuk sokongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, sekiranya perlu.
Peningkatan kecil gagal SPM petanda bahaya
Pakar pendidikan, Dr Tazli Azizan turut meluahkan kebimbangan dengan menyatakan peningkatan kecil dalam kadar kegagalan SPM sudah cukup untuk menjadi petanda bahaya yang memerlukan tindakan segera.
“Ini bukan sekadar soal keputusan peperiksaan. Ia mencerminkan isu lebih besar – motivasi, pedagogi, serta jurang dalam akses dan sokongan pendidikan,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap peperiksaan berimpak tinggi seperti SPM, sebaliknya membina sistem pendidikan lebih fleksibel dan inklusif berteraskan pembelajaran sepanjang hayat.
“Pembelajaran sepanjang hayat tidak seharusnya sekadar menjadi slogan. Ia perlu menjadi falsafah nasional. Bukan semua remaja berusia 17 tahun bersedia membuat keputusan yang mengubah kehidupan.
“Namun, dengan laluan alternatif, mereka boleh kembali apabila sudah bersedia,” ujarnya.
Dr Tazli menegaskan isu sebenar terletak pada kekakuan sistem sedia ada yang menawarkan pilihan terhad kepada golongan belia yang terpaksa bekerja.
“Kebanyakan remaja bukannya malas – mereka sama ada membantu keluarga untuk terus hidup atau bergelut untuk memahami kandungan pelajaran di sekolah,” katanya.
Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan memperluas program Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu (APEL) dan mewujudkan format peperiksaan yang lebih fleksibel, termasuk pilihan modular dan digital.
Sumber : Berita Harian

