GEORGE TOWN: Eastern & Oriental Bhd (E&O) melancarkan kediaman terbaharunya di persisiran laut Maris dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM700 juta.
E&O dalam satu kenyataan, berkata pembangunan berstatus pegangan bebas setinggi 49 tingkat yang dilancarkan pada Rabu itu merangkumi 516 kediaman berperabot dan terletak di daerah Gurney Green, Pulau Andaman.
Unit kediaman itu direka bagi memenuhi gaya hidup yang pelbagai.
Ia menawarkan unit dua bilik tidur dengan keluasan binaan 979 kaki persegi manakala unit tiga bilik tidur terdiri daripada 1,177 kaki persegi hingga 1,356 kaki persegi.
Harga dijangka bermula daripada RM950,000.
“Maris melambangkan kehidupan berinspirasikan marina selain akan menawarkan penduduk, gabungan unik kemudahan bandar dan keanggunan pinggir laut yang tenang,” katanya kenyataan itu.
Pembangunan itu akan mempunyai lapan rumah kedai di tepi pantai, menggabungkan komponen runcit serta kediaman, ini membolehkan penduduk menikmati pelbagai kemudahan dan perjumpaan sosial.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong, berkata Maris meraikan kehidupan moden di tepi pantai, menggabungkan kemewahan, fungsi dan kelestarian.
“Konsep marinanya menawarkan persekitaran yang bertenaga tetapi tenang, yang mana keperluan harian hanya beberapa langkah sahaja,” katanya.
Direka bentuk dengan mengambil kira kebolehjalan kaki, laluan siarnya memastikan akses mudah ke fasiliti sambil menggalakkan gaya hidup luar yang aktif . Ia akan mengubah kawasan itu menjadi ruang terbuka dan mesra yang memupuk interaksi sosial serta kehidupan bermasyarakat, kata Tuck Cheong.
Ciri menonjol Maris termasuk kemudahan yang terdiri daripada kolam infiniti, taman hutan, taman haiwan peliharaan, gimnasium dan ruang sosial bagi interaksi komuniti.
Maris juga memenuhi piawaian Platinum GreenRE, menggabungkan bahan berkualiti serta amalan terbaik yang mementingkan alam sekitar bagi memastikan kecekapan tenaga.
— BERNAMA
Sumber : Berita Harian

