Thursday, December 4, 2025
UtamaBeritaChingay menyatukan pelbagai kaum

Chingay menyatukan pelbagai kaum

Butterworth: Perarakan Chingay yang sinonim dengan budaya masyarakat Tionghua bukan hanya permainan, tetapi berupaya menyatukan masyarakat berbilang bangsa.

Ia terbukti apabila terdapat beberapa pasukan Chingay dalam perarakan Penang Chingay Parade 2024 di Jalan Dato Haji Ahmad Said, Bagan Luar di sini, pada Sabtu disertai masyarakat Melayu dan India.

Pemain dari Persatuan Chingay Seberang Perai, Jamil Mohamed, 45, dari Bukit Mertajam berkata, dia mula terbabit dengan aktiviti itu sejak berusia 15 tahun.

Katanya, sehingga kini dia sudah mahir dengan beberapa aksi dan ketangkasan yang sering ditonjolkan dalam permainan tradisional Cina itu.

“Saya menganggap Chingay sebagai permainan yang menguji kemahiran dan aksi malah ahli pasukan ini amat memberi galakan.

“Anak saya (Mohd Hazziq Zaqkuan, 13) turut menunjukkan minat bermain Chingay dan sudah menyertai pasukan ini sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini, pada 21 Disember 2024.

Sementara itu, P Thuchagaran, 49 berkata, permainan Chingay sudah ‘sebati’ dengan dirinya selepas menyertai permainan itu sejak 20 tahun lalu dan kini anaknya juga turut menyertai pasukan berkenaan bersama kira-kira enam lagi rakan kaum India.

“Bapa saya antara pemain Chingay dengan pasukan majlis bandar raya dan berikutan sering mengikutinya ketika latihan, saya tertarik menyertainya.

“Ini bukan mengenai tradisi kaum lain, tetapi keupayaan mengawal bendera dan menjadikan ia sebagai aktiviti sihat yang boleh dicuba,” katanya lagi.

Ketua pasukan, Phee Boon Chong, 64 berkata, pasukan itu dianggotai seramai 70 ahli berusia antara 13 hingga 70 tahun dan biasanya akan berlatih selama dua bulan sebelum menyertai perarakan.

“Kebanyakan ahli dapat melakukan aksi tendangan tiang bendera setinggi tiga meter dan ia memerlukan masa yang agak lama bagi mengasah bakat dan kemahiran itu.

“Kami amat mengalu-alukan penyertaan pelbagai kaum dan ia menjadikan pasukan ini ‘berwarna warni’ dengan pelbagai ragam,” katanya.

Sementara itu, perarakan berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai.

Perarakan berwarna warni hampir 4.5 kilometer ke Kuil Tow Boo Kong itu turut disertai pasukan senamrobik, tarian singa pancaragam, persatuan silambam, kelab Muay Thai, kereta berhias dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Wong ketika berucap berkata, Chingay di Pulau Pinang bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi simbol kerjasama dan penghargaan terhadap kekayaan warisan budaya yang dikongsi bersama oleh pelbagai bangsa.

Katanya, ini kerana persembahan Chingay iaitu mengimbang tiang bendera setinggi hampir 12 meter dengan bendera besar mencapai 7.6 meter (25 kaki) lebar dan seberat 10 kilogram (kg) bukanlah sesuatu yang mudah.

“Mereka dengan cermat meletakkan bendera di bahagian tubuh sama ada tergantung di bawah dagu, dahi, di atas bahu atau diikat di belakang leher, ia memberi pemandangan yang luar biasa serta menggabungkan kekuatan.

“Diharap dengan pencapaian ini, perarakan Chingay akan turut dicalonkan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Unesco bersama pakaian kebaya,” katanya.

Sumber : Harian Metro

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments