Georgetown: Bukan hanya membuka perniagaan demi mengaut keuntungan, Mohamad Afif Fahimi Mohamad Aris turut berkongsi rezeki dengan mengambil penuntut B40 sebagai kakitangan di kafe miliknya yang dibuka di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Mohamad Afif Fahimi, 29, berkata, dia membuka peluang pekerjaan kerana pernah merasai kesusahan ketika menyambung pengajian, jadi dia memahami keperluan segelintir penuntut yang mahu bekerja sambil belajar untuk mencari duit poket.
Bercerita lanjut, Mohamad Afif Fahimi yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera USM berkata, kafe diberi nama Fourthousand itu mula beroperasi sejak awal tahun ini.
Dia memilih ruang dalam kampus kerana melihat ia peluang mencari pekerja dalam kalangan penuntut selain menawarkan aneka makanan termasuk kek dan pastri untuk dinikmati pelanggan.
“Sebelum ada perniagaan sendiri, saya juga pernah bekerja sambilan sebagai pembantu di kafe waktu zaman belajar bagi menampung kos pengajian dan mencari duit poket.
“Tahun akhir pengajian, saya dapat buka kafe sendiri dengan yang pertama pada 2018 diikuti restoran di Bertam dua tahun kemudian dan tahun ini dalam kampus.
“Waktu permulaan dulu, majikan lama yang bantu beri separuh daripada keseluruhan modal untuk buka kafe dan saya pilih buka perniagaan makanan kerana minat memasak juga cafe hunting (mencari kafe untuk dimakan),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, buat masa ini, dia mempunyai sembilan kakitangan tetap dan 12 pekerja sambilan terdiri daripada penuntut.
Katanya, penuntut terbabit juga memberi perkhidmatan yang baik walaupun mempunyai komitmen kerja.
“Sambutan pun agak baik dan pelanggan pun terdiri daripada penuntut berbilang kaum.
“Kita pun gunakan TikTok untuk ketengahkan lagi kafe kerana nak tarik pelanggan luar dan tak boleh bergantung dengan penuntut saja.
“Alhamdulillah, kakitangan pun banyak bantu untuk hasilkan bahan perkongsian (content),” katanya yang turut membuat penghantaran untuk pesanan dalam kampus.
Berkongsi perancangannya, Mohamad Afif Fahimi berharap dapat memantapkan lagi jenama bagi tiga kafe dan restoran diusahakannya.
“Sasaran saya adalah mengembangkan lagi perniagaan hingga sekurang-kurangnya salah satu jenama perniagaan dapat difrancaiskan.
“Menerusinya, saya dapat berkongsi rezeki yang lebih menerusi tawaran peluang pekerjaan khususnya kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Sumber : Hmetro

