GEORGE TOWN, 10 Januari – Kerajaan Pulau Pinang bersedia menguatkuasakan larangan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape sekiranya Jemaah Menteri memutuskan dasar berkenaan dilaksanakan di peringkat nasional.
Exco Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pendirian itu selari dengan komitmen kerajaan negeri yang sentiasa menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melindungi kesihatan awam, termasuk langkah membendung penggunaan produk berbahaya.
“Kerajaan negeri mengambil maklum pengumuman Menteri Kesihatan berhubung pembentangan memorandum Jemaah Menteri bagi melaksanakan larangan menyeluruh terhadap vape, melibatkan bukan sahaja penjualan malah penggunaan produk tersebut.
“Kita masih menunggu keputusan rasmi, namun jika larangan ini dilaksanakan kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan kementerian bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar di Pulau Pinang,” katanya di sini.
Mengulas reaksi industri vape, Daniel mengakui terdapat implikasi ekonomi memandangkan sektor itu menjadi sumber pendapatan kepada sesetengah pihak, namun perbincangan dan sesi libat urus telah dijalankan di peringkat negeri dan kementerian bagi meneliti pandangan semua pihak.
“Keutamaan kerajaan negeri kekal jelas iaitu meletakkan kepentingan kesihatan rakyat sebagai perkara utama, tanpa mengira sama ada melibatkan rokok elektronik atau rokok konvensional yang kedua-duanya terbukti memudaratkan kesihatan.
“Selain itu dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan Pulau Pinang antara negeri mencatatkan penurunan prevalens merokok, dengan kadar perokok dewasa sekitar 15.2 peratus dan penggunaan vape kira-kira tiga peratus, sekali gus mencerminkan trend penurunan hasil penguatkuasaan dan pendidikan kesihatan yang berterusan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan KKM menyasarkan untuk melaksanakan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka, tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan pengharaman itu meliputi penjualan dan penggunaan vape jenis sistem terbuka.
Katanya, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

