BAYAN LEPAS, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Kumpulan Gema Nusantara dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung muncul Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di sekolah berkenaan, semalam.
Kumpulan ini memilih pengisahan bertajuk ‘Lembaran Kisah Seutas Gelang: Datuk Siti Rahmah Kassim’, yang mengangkat kisah pengorbanan tokoh wanita dalam perjuangan kemerdekaan.
Penceritaan penuh emosi dan sarat nilai patriotisme itu memikat hati juri, sekali gus melayakkan kumpulan ini menerima piala kejuaraan, sijil penyertaan dan wang tunai RM1,000.

Dengan kejayaan ini, Gema Nusantara akan mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan di Putrajaya, September nanti.
Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku Rosmawamurni Ismail, menzahirkan rasa bangga terhadap usaha dan komitmen para pelajar yang berlatih sepenuhnya atas inisiatif sendiri.

“Kami akan terus memperkemas penceritaan untuk memberi saingan terbaik di peringkat kebangsaan nanti,” katanya yang juga amat menghargai sokongan dan bimbingan daripada Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya sepanjang persediaan dilakukan.
Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan ini disertai enam sekolah menengah dan menjadi platform menyemarakkan semangat kenegaraan dalam kalangan generasi muda, seiring aspirasi Malaysia MADANI.
Program ini dirasmikan wakil Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Dr. Mohd Suhairi Arumugam Abdullah, yang menegaskan pengisahan sejarah sebagai medium berkesan membina jati diri bangsa.
Pengarah Penerangan Negeri Hasmiza Hussin, menyifatkan pertandingan ini sebagai usaha menyemai kefahaman terhadap dasar kerajaan dan memperkukuh perpaduan melalui seni bercerita.
-RI
Sumber : Malaysia Aktif

