GEORGE TOWN: Pulau Pinang mencatatkan pencapaian gemilang apabila berjaya menarik pelaburan bernilai RM31.38 bilion sepanjang 2024, sekali gus menyediakan lebih 6,600 peluang pekerjaan baharu terutama dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, perkhidmatan termaju, dan pertanian moden.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pencapaian itu menjadi bukti kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial yang memberangsangkan di negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Selain pelaburan, Pulau Pinang turut mencatatkan kadar pematuhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketiga tertinggi di Malaysia, dengan kadar 99.15 peratus, serta muncul sebagai hab pelancongan perubatan terkemuka di Asia Tenggara,” katanya pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di sini, semalam.
Kon Yeow turut memaklumkan bahawa sehingga Disember 2024, sebanyak 306 projek diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk Pulau Pinang. Daripada jumlah itu, 246 adalah projek baharu di bawah Rolling Plan Ke-4 (RP4), manakala 60 lagi merupakan projek sambungan.
Jumlah keseluruhan kos projek di Pulau Pinang tahun lalu adalah RM28.4 bilion, dengan peruntukan sebanyak RM1.35 bilion dan perbelanjaan RM1.1 bilion, bersamaan 81.76 peratus.
Dalam Rolling Plan Ke-5 (RP5) RMKe-12, 10 projek keutamaan negeri disenaraikan dalam Modul Wishlist Negeri Pulau Pinang di bawah Sistem MyProjek, dengan lapan daripadanya sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Ekonomi.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan memberikan perhatian kepada projek-projek ini kerana ia signifikan, termasuk pembinaan jalan, struktur cegahan hakisan pantai, dan klinik kesihatan, yang membawa kepentingan tersendiri,” katanya.
Berhubung Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Kon Yeow menegaskan bahawa Pulau Pinang akan memainkan peranan aktif dalam memastikan kejayaan penganjuran pelbagai program serantau selaras dengan aspirasi negara dan matlamat ASEAN.
Antara peranan yang bakal dimainkan ialah menjadi lokasi mesyuarat penting ASEAN, lawatan budaya, serta program ekonomi dan pelancongan berimpak tinggi.
Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Januari 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang mencerminkan aspirasi untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
–BERNAMA
Sumber : Berita Harian Online

