Batu Kawan: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk Pulau Aman, di sini menerusi program Kampung Angkat MADANI.
Pulau Aman dipilih selepas ia ditransformasikan menjadi komuniti lebih dinamik, mampan dan sejahtera dengan pelaksanaan 12 projek fizikal serta 24 projek bukan fizikal dengan peruntukan RM2.47 juta.
Inisiatif dirintis JPA ini bukan sahaja meningkatkan daya tarikan dan kelestarian pembangunan Pulau Aman, tetapi juga membantu meningkatkan taraf hidup penduduk.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata pihaknya memilih Pulau Aman sebagai kampung angkat kerana mahu meningkatkan infrastruktur di kawasan itu berdaya saing dan menjadi daya tarikan pelancongan.
“JPA memilih Pulau Aman kerana pada pandangan kami kampung ini masih banyak ketinggalan dari segi infrastrukturnya dan syukur dengan beberapa projek yang sudah dirancangkan, kini ia telah sempurna sepenuhnya serta buat penyerahan.
“Kita percaya dengan terbinanya semua fasiliti ini, akan dapat membantu penduduk Pulau Aman menjana pendapatan dan ia pasti akan meningkatkan ekonomi, seterusnya dapat memperbaiki sedikit sebanyak kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Kampung Angkat MADANI JPA, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, antara projek dibina di pulau itu termasuk baik pulih kemudahan awam seperti tandas, pembaikan gelanggang permainan, naik taraf jeti, peningkatan pusat pengumpulan sampah, pembaikan longkang, pemasangan lampu jalan, pengubahsuaian dewan serba guna dan penyediaan tempat mandi jenazah.
“Kita turut berjaya menyiapkan pembinaan Denai Alam (Nature Trail) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

“Semua projek ini diselesaikan hanya dalam tempoh tujuh bulan dan untuk memastikan semua fasiliti itu dijaga dengan baik, kita meminta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan pemantauan berkala.
“Ia mesti dijaga dengan baik memandangkan, Pulau Aman ini mempunyai keistimewaan untuk menarik pelancong bagi menghayati keindahan alam semula jadi di samping melaksanakan aktiviti rekreasi,” katanya.
Jumlah pelancong meningkat
Wan Ahmad Dahlan berterima kasih dengan semua jentera kerajaan yang berpadu tenaga menambah baik kawasan penduduk di sesebuah kawasan yang kurang bernasib baik dari segi pembangunan.
“Bagi program Kampung Angkat MADANI di Pulau Aman banyak kementerian dan jabatan berkolaborasi dengan JPA, inilah hasrat yang ingin kita tonjolkan,” katanya.
Kampung Angkat MADANI adalah inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan Whole of Government.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Zulkplee Yusoff, berkata jumlah pelancong yang berkunjung ke Pulau Aman meningkat secara drastik sejak pelaksanaan program kampung angkat dilaksanakan dekat situ.
“Sebelum ini, ada lebih kurang 20 hingga 40 orang sahaja yang masuk ke Pulau Aman, tetapi sekarang ia melonjak kepada 2,000 pelancong, terutama pada hari minggu.
“Ini berikutan fasiliti yang sudah dinaik taraf dan memberi keselesaan kepada pelancong, sekali gus memberi manfaat besar buat penduduk kampung di pulau ini,” katanya.
Pulau Aman satu-satunya kampung nelayan Melayu tradisional yang masih mengekalkan keaslian dan keunikan gaya hidupnya.
Pulau seluas 116.5 hektar ini, terletak kira-kira 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai dan lapan kilometer (km) dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan didiami 250 penduduk daripada 47 keluarga.
Menariknya, pulau ini menawarkan pengalaman luar biasa sebagai sebuah kampung ‘bebas kereta’, penduduk dan pelawat hanya bergerak dengan berjalan kaki, berbasikal atau menaiki motosikal menerusi jalan konkrit yang menghubungkan seluruh pulau.
Sumber : Berita Harian

