Bukit Mertajam: Kemajuan projek muzium feri terapung di Tanjung Marina, Georgetown, dekat sini sudah mencapai tahap sehingga 90 peratus dan dijangka akan memulakan operasi akhir tahun ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin, berkata beliau tidak dapat mendedahkan apa keunikan dan kemudahan yang terdapat dalam muzium feri itu.
Menurutnya, semua pihak diminta bersabar dan menunggu ketika hari pelancaran muzium feri berkenaan dibuat kelak.
“Saya pernah isukan soal (selamatkan) feri ikonik dalam kenyataan sebelum ini dan antara (kaedah menyelamatkan feri) adalah dengan menjadikan muzium feri terapung.
“Kini (projek muzium feri) sudah mencapai sehingga 90 peratus (kemajuan) dan ia akan dilancarkan pada penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Jom Durian’ di Mydin Bukit Mertajam di sini, pada Sabtu lalu.
Jelasnya, selain dijadikan muzium feri terdapat sebuah lagi feri ikonik yang akan dijadikan restoran terapung yang feri itu kini ditempatkan di persisiran laut di Queensbay.
“Feri itu kini (dikendalikan) sebuah syarikat pemaju dan difahamkan akan dijadikan restoran terapung,” katanya.
Yeoh yang juga Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia dalam kenyataan sebelum ini memutuskan untuk melupuskan beberapa feri ikonik dengan kadar segera kerana kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilaksana susulan pereputan yang serius dan tidak boleh diapungkan.
Ia juga berikutan insiden yang menyaksikan Feri Pulau Kapas karam akibat kebocoran dan tidak lagi dapat diperbaiki.
Dalam pada itu, Yeoh berkata, pelupusan feri juga dibuat susulan kos baik pulih yang memerlukan jutaan ringgit bagi setiap feri.
“Ada beberapa syarikat yang datang untuk lihat feri ikonik ini tetapi mereka tidak jadi apabila melihat kos baik pulih dan penyelenggaraan terlalu mahal,” katanya
SUMBER : HMETRO

