Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus mempergiat usaha membangunkan industri halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) Bil. 01/2026 yang berlangsung di Bangunan SIRIM Pulau Pinang, Bandar Perda.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, bagi membincangkan hala tuju serta strategi memperkukuh ekosistem industri halal secara menyeluruh.
Menurut beliau, pembangunan industri halal bukan sahaja berpotensi meningkatkan ekonomi negeri, malah mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan Muslim, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta golongan asnaf.
Antara keutamaan yang dibincangkan termasuk memperkukuh sistem pensijilan halal, menyediakan bimbingan dan latihan keusahawanan, meningkatkan akses pasaran serta merangka Pelan Induk Industri Halal Pulau Pinang 2026–2030 bagi memastikan produk halal tempatan lebih berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Mohamad menegaskan bahawa kerjasama strategik antara Penang Halal International (PHI) dengan agensi berkaitan perlu diperkukuh bagi memastikan potensi industri halal dimanfaatkan sepenuhnya.
Usaha tersebut turut mendukung Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi ummah, peluasan peluang pekerjaan serta peningkatan taraf hidup masyarakat, sekali gus menjadikan industri halal sebagai antara sektor penting dalam pembangunan ekonomi Pulau Pinang.

