Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat itu menjadi platform penting bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menyelaras dasar serta membincangkan isu pentadbiran dan pengurusan tanah.
Menurut beliau, pengurusan tanah di Pulau Pinang perlu dilaksanakan secara terancang, berhemah dan seimbang dengan mengambil kira keperluan pembangunan negeri, kepentingan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Perancangan guna tanah yang baik semakin penting dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan pembangunan yang semakin dinamik.
Pada masa sama, aspek penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah tanpa kebenaran perlu terus diperkukuh bagi memastikan tanah diurus mengikut peruntukan dan perancangan ditetapkan.
Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pengurusan tanah dilaksanakan dengan tatakelola yang baik, telus dan berkesan.

