Sektor pembuatan Malaysia digesa mempercepat penggunaan automasi dan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi serta memastikan industri tempatan kekal berdaya saing di peringkat global.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, masih banyak proses di kilang tempatan dilaksanakan secara manual walaupun teknologi berkembang pesat.
Menurut beliau, cabaran itu turut dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih dalam proses mengadaptasi penyelesaian digital asas.
Kerajaan Persekutuan menyediakan pelbagai geran, bantuan kewangan dan sokongan teknikal bagi membantu syarikat mempercepat transformasi, selain menggalakkan penggunaan automasi, integrasi digital, data masa nyata serta peningkatan kemahiran tenaga kerja.
Sim berkata demikian ketika melancarkan Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2027 di AC Hotel Penang.
Menurutnya, transformasi ke arah pembuatan pintar penting bagi membantu pengeluar tempatan meningkatkan kawalan proses, kebolehkesanan rantaian pengeluaran, kualiti produk dan ketepatan penghantaran, sekali gus memenuhi keperluan rantaian nilai global yang semakin mencabar.

