
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kendalian Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mencatat tiga pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) iaitu Loji Pemulihan Air Berkapasiti Tertinggi, Loji Rawatan Air Pertama dengan Pelepasan Sisa Sifar dan Loji Rawatan Air Pertama dengan Kehilangan Air Loji Sifar di Malaysia.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen PBAPP dalam inovasi serta pengurusan air yang lebih mesra alam.
Pencapaian tersebut didorong pelaksanaan Sistem Kitar Semula Sisa Rawatan Air Sifar Sisa yang mampu memulihkan antara 30 juta hingga 45 juta liter air sehari, selain menghapuskan pelepasan air sisa ketika operasi normal.
Dalam masa sama, kapasiti maksimum rawatan air Pulau Pinang telah meningkat daripada 1,599 juta liter sehari pada 2022 kepada 1,732 juta liter sehari pada 2026.
Menerusi Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030), sebanyak lapan projek bekalan air bernilai RM2.1 bilion akan dilaksanakan sehingga 2030 atau 2031, selain mendapatkan tiga sumber air mentah tambahan.
Apabila keseluruhan projek siap, kapasiti rawatan air negeri dijangka meningkat sebanyak 602 juta liter sehari, sekali gus memperkukuh jaminan bekalan air untuk penduduk, perniagaan dan pelabur di Pulau Pinang.

