Tuesday, May 12, 2026
UtamaBeritaY.A.B Ketua Menteri Chow Kon Yeow Tegaskan Komitmen Kerajaan Negeri Perkukuh Infrastruktur...

Y.A.B Ketua Menteri Chow Kon Yeow Tegaskan Komitmen Kerajaan Negeri Perkukuh Infrastruktur Logistik Pulau Pinang

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hari ini telah melawat Penang International Logistics Aeropark (PILA), yang disifatkan sebagai satu usaha sama strategik antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Semasa lawatan tersebut, Beliau yang juga pengerusi PDC berkata projek ini bertujuan untuk membangunkan terminal kargo baharu bagi memperkukuh ekosistem logistik di wilayah utara serta menyokong pertumbuhan sektor perindustrian Pulau Pinang. Beliau turut memeriksa kemajuan projek PILA yang diiringi oleh pengurusan kanan PDC, MAHB serta kontraktor projek.

“PILA merupakan satu langkah penting dalam mempertingkatkan infrastruktur logistik Pulau Pinang, khususnya untuk industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E). Projek ini bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti kargo, tetapi juga mewujudkan peluang kepada pemain logistik tempatan dan syarikat antarabangsa untuk mengembangkan operasi mereka di negeri ini,” kata Chow.

Beliau menambah bahawa walaupun berdepan cabaran keadaan global, sektor perindustrian termasuk E&E, semikonduktor dan lain-lain masih terus berkembang. Permintaan terhadap teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) juga terus memacu pesanan, dan industri negeri masih menerima tempahan yang meningkat. Dengan pelaburan baharu serta pengembangan kapasiti sedia ada, Chow menegaskan keperluan mendesak terhadap projek ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tanpa kemudahan baharu, kargo terpaksa dihantar ke lokasi lain seperti Singapura dan kemudian diangkut menggunakan lori dari wilayah utara. Dengan kemudahan tambahan ini, kita boleh menguruskan kargo terus di Pulau Pinang. Seperti kata MAHB: ‘Make in Penang, fly from Penang’,” katanya. Beliau sebelum itu telah diberi taklimat oleh ketua unit projek khas PDC, Azizee Rohemee dan pengurus projek Arup, Jason Mak.

Turut hadir ialah pengurus kanan MAHB Rahime @ Faize Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif PDC Abdul Latiff Ab Aziz, pengurus bahagian teknikal PDC Norhartini Mohd Noor serta ketua bahagian korporat & komunikasi PDC Zulkifli Ismail. Lembaga pengarah PDC dan MAHB juga telah meluluskan penubuhan syarikat usaha sama PILA Sdn Bhd, dengan perjanjian dimeterai pada 13 April 2026.

Projek ini dibiayai oleh PDC serta sokongan kerajaan Persekutuan yang telah menyediakan geran untuk komponen tertentu. Kerjasama strategik ini selaras dengan Visi Pulau Pinang 2030 dan Pelan Struktur Negeri 2030, menyokong pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta memenuhi keperluan logistik masa hadapan bagi sektor industri berteknologi tinggi.

Projek ini telah mendapat kelulusan Pelan Induk, dan PDC kini sedang menjalankan kerja-kerja tanah serta rawatan tanah. Fasa pertama yang melibatkan pembinaan Gudang Kargo Zon Komersial Bebas dijangka siap dan beroperasi pada tahun 2029. Apabila siap sepenuhnya, PILA dijangka mampu mengendalikan sehingga 500,000 tan kargo setahun menjelang 2050, dengan keluasan gudang melebihi dua juta kaki persegi.

Fasa pertama sahaja dijangka menyokong tambahan 100,000 tan kargo setahun. Projek bernilai RM1 bilion ini yang meliputi kawasan seluas 42 hektar telah menerima komitmen pajakan daripada syarikat logistik antarabangsa serta pengendali tempatan. Beliau berkata majlis pelancaran rasmi PILA sedang dirancang dan dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments