Pulau Pinang kini mempunyai hubungan penerbangan terus dengan sembilan bandar di China selepas penerbangan sulung Hainan Airlines dari Haikou, Wilayah Hainan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 11 Oktober 2026.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, penerbangan HU477 yang membawa 110 penumpang itu disambut dengan istiadat pancutan air sebagai simbolik pembukaan laluan baharu.
Perkhidmatan tersebut beroperasi dua kali seminggu, setiap Rabu dan Ahad, sekali gus memperluas jaringan penerbangan antarabangsa negeri.
Menurut beliau, China kini merupakan pasaran pelancongan antarabangsa kedua terbesar bagi Pulau Pinang, dan pembukaan laluan Haikou dijangka meningkatkan kedatangan pelancong untuk tujuan percutian, lawatan keluarga serta urusan perniagaan.
Hubungan ini turut memperkukuh kerjasama antara Pulau Pinang dan Wilayah Hainan yang telah menjalinkan hubungan persahabatan sejak 2013, diikuti kerjasama bandar persahabatan antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Sanya pada 2017.
Wong berkata, penerbangan terus tersebut juga membuka peluang kerjasama ekonomi dan perdagangan, khususnya antara Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan dengan ekosistem semikonduktor, pembuatan elektronik dan logistik Pulau Pinang.
Selain merancakkan sektor hotel, makanan, peruncitan dan perkhidmatan pelancongan, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi menambah laluan antarabangsa sebagai persediaan menghadapi peningkatan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas projek pembesarannya siap.

