Wednesday, January 14, 2026
UtamaBeritaEmpangan air Pulau Pinang capai tahap optimum menjelang musim kering

Empangan air Pulau Pinang capai tahap optimum menjelang musim kering

GEORGE TOWN, 23 Disember 2025 – Tiga empangan utama Pulau Pinang kini mencapai tahap air optimum buat pertama kali dalam lapan tahun, meletakkan negeri ini dalam kedudukan kukuh menjelang musim kering yang dijangka bermula Januari depan.

Menurut data terkini daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), kapasiti berkesan Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Empangan Mengkuang Berskala Besar masing-masing melebihi 90 peratus setakat hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K. Pathmanathan berkata, ini merupakan kali pertama sejak Disember 2017 Empangan Air Itam dan Teluk Bahang mencatat kapasiti lebih 90 peratus pada penghujung tahun.

Kata beliau, setakat kini, kapasiti Empangan Teluk Bahang ialah 98.9 peratus, Air Itam 93.4 peratus, manakala Mengkuang Berskala Besar 92.2 peratus.

Pathmanathan menjelaskan, faktor utama peningkatan paras empangan ialah hujan lebat di kawasan tadahan antara September hingga November lalu yang dipengaruhi Monsun Timur Laut dan fenomena La Niña.

“Jumlah hujan bagi tempoh ini mencatatkan 1,287mm di Teluk Bahang, 792mm di Air Itam dan 2,014mm di Mengkuang Berskala Besar.

“Selain itu, langkah operasi yang dilaksanakan PBAPP turut menyumbang kepada pemulihan paras empangan.

“Antaranya, Pelan Tindakan Empangan Air Itam membantu pengisian semula empangan 2,159 juta liter selepas kapasiti menurun kepada 49.1 peratus pada Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, di Teluk Bahang pula, pengisian strategik dilakukan menggunakan air mentah dari kawasan tadahan Batu Feringghi dan Sungai Pinang, selepas paras empangan menurun kepada 45.3 peratus pada April lalu.

Jelasnya, empangan Mengkuang Berskala Besar yang dinaik taraf dan dibuka semula pada 2021, mengekalkan paras stabil sepanjang tahun melalui protokol yang mengutamakan pengambilan air mentah dari Sungai Muda dan mengurangkan pengeluaran kecuali dalam situasi kecemasan.

“Sungai Muda di Lahar Tiang mencatat paras antara 2.15m hingga 2.56m pada Disember, membolehkan pengambilan air mentah yang efisien untuk Loji Rawatan Air Sungai Dua, dengan paras selamat ditetapkan pada 2.0m.

“Di Kedah, Empangan Muda dan Beris yang menyalurkan air ke Sungai Muda turut pulih dengan kapasiti masing-masing 97.5 peratus dan 99.2 peratus setakat 18 Disember lepas.

“Keadaan kini merupakan kedudukan air terkuat Pulau Pinang dalam lapan tahun menjelang musim kering,” katanya.

Justeru, Pathmanathan menasihatkan pengguna agar terus berjimat cermat menggunakan air walaupun situasi kini positif.

“Musim kering dijangka bermula minggu kedua Januari depan dengan Februari dan Mac dijangka kering.

“Tempoh ini bertepatan dengan sambutan perayaan besar seperti Thaipusam, Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, yang boleh menyebabkan permintaan air meningkat di empangan Air Itam dan Teluk Bahang,” katanya. – MalaysiaGazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments