Thursday, January 15, 2026
UtamaBeritaPulau Pinang jadikan Tekad sebagai standard baharu syarikat

Pulau Pinang jadikan Tekad sebagai standard baharu syarikat

GEORGE TOWN, 8 Disember 2025 – Program Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu memperkukuh prestasi organisasi menerusi pembentukan tenaga kerja berdisiplin dan berintegriti, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau menegaskan, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, sektor swasta dan industri wajar melihat Tekad sebagai piawaian operasi standard memandangkan kesannya secara terus kepada keselamatan, produktiviti dan imej organisasi.

“Pekerja yang bebas daripada pengaruh dadah berupaya bekerja lebih fokus sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

“Di Pulau Pinang, kita sedang memacu pelbagai agenda pembangunan ekonomi, namun pembangunan yang paling utama tetap membabitkan pembangunan modal insan dan teguh integritinya.

image 21

“Sesebuah organisasi hanya mampu melangkah jauh apabila pekerjanya berada dalam keadaan terbaik. Justeru kemajuan ekonomi juga secara tidak langsung bergantung kepada kekuatan emosi, fizikal serta integriti warga kerja,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Program Tekad kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan.

Tambah Kon Yeow, kejayaan PBAPP mematuhi sepenuhnya piawaian Tekad bukan satu pencapaian kecil, sebaliknya membuktikan kepimpinan jelas dan komitmen menyeluruh warga kerjanya terhadap budaya kerja sihat.

Katanya, PBAPP juga merancang menyediakan latihan vokasional termasuk kerja perpaipan kepada klien Puspen, sebagai peluang kedua kepada mereka yang berusaha memulihkan diri dan kembali ke masyarakat.

“PBAPP turut mencatat sejarah sebagai operator air pertama di Malaysia dan GLC negeri pertama di Pulau Pinang yang mencapai pematuhan penuh program Tekad.

“Selain itu, PBAPP turut melaksanakan program sokongan bersama AADK untuk klien Puspen Kampung Selamat pada Ogos lalu sebagai sebahagian daripada usaha CSR.

“Ini merupakan satu langkah amat baik kerana ia mampu mendekatkan masyarakat dengan klien-klien Puspen, seterusnya membantu mereka kembali ke jalan pemulihan,” katanya. – MalaysiaGazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments