KUBANG SEMANG, 24 Nov – Mini Karnival Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) berlangsung meriah di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Seri Penanti dan Dataran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubang Semang dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim, menegaskan bahawa program berkonsepkan turun padang seperti ini mampu memperkukuh potensi kampung dan mengenalpasti keperluan sosioekonomi melalui pemantauan dan libat urus secara langsung dengan jawatankuasa dan penduduk.

“Program ini bukan sekadar penyampaian bantuan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat, memahami keperluan sebenar komuniti serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi setempat,” katanya ketika berucap merasmikan karnival tersebut, di sini semalam.
Pelbagai pengisian turut disediakan untuk orang ramai antaranya penyerahan Bakul Rahmah, bantuan khemah penjaja kecil, kerusi roda dan beg sekolah selain perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan, ujian saringan virus papiloma manusia (HPV) DNA, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan MYJalan, kaunter urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta semakan Kad Personel Binaan (CIDB).
Penerima bantuan khemah Siti Norazira Abd Rahman, 40, meluahkan rasa syukur dan terharu apabila menerima bantuan yang secara langsung dapat meningkatkan kelangsungan perniagaannya.

“Khemah ini memang sangat bermakna untuk saya, dengan bantuan ini saya rasa lebih bersemangat untuk mengembangkan perniagaan dan menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.
Kemeriahan karnival turut diserikan dengan Jualan Rahmah MADANI, Food Truck Selera MADANI serta Kenduri MADANI yang mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat setempat.
-RI
Sumber : Malaysia Aktif

