Sunday, April 19, 2026
UtamaBeritaHospital Columbia Asia bertapak di Batu Kawan, tawar rawatan pakar komprehensif

Hospital Columbia Asia bertapak di Batu Kawan, tawar rawatan pakar komprehensif

BATU KAWAN: Selepas hampir tiga dekad membina rangkaian hospital swasta di seluruh negara, Columbia Asia kini melakar sejarah baharu dengan membuka hospital pertamanya di Pulau Pinang melalui pelancaran Columbia Asia Hospital Batu Kawan (CAHBK).

Pembukaan hospital ke-13 rangkaian Columbia Asia di Malaysia ini bukan sahaja memberi pilihan baharu rawatan pakar kepada masyarakat utara tanah air, malah melengkapkan keperluan komuniti pesat membangun di Batu Kawan dan kawasan sekitarnya.

Terletak di Bandar Cassia sebaik turun dari Jambatan Kedua Pulau Pinang , CAHBK tampil dengan kemudahan moden, teknologi perubatan terkini serta kepakaran pelbagai disiplin untuk memastikan penduduk mendapat rawatan berkualiti berhampiran kediaman mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif CAHBK, Mohd Shafee Awang, berkata pemilihan lokasi hospital itu dibuat bagi memenuhi keperluan komuniti setempat serta ribuan pekerja di Taman Perindustrian Batu Kawan.

“CAHBK sedia memberi khidmat penjagaan kesihatan berkualiti, bukan sahaja untuk keluarga, malah untuk kakitangan perniagaan. Lebih 160 syarikat dengan kira-kira 15,000 pekerja berada di kawasan industri Batu Kawan. Kehadiran hospital ini memberi kemudahan rawatan moden lebih dekat dengan mereka,” katanya.

Pelbagai kemudahan moden

Hospital setinggi enam tingkat dengan podium parkir lapan tingkat itu dilengkapi 31 klinik, lima dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU/HDU), Unit Kecemasan 24 jam, Unit Pemulihan serta makmal kateterisasi jantung yang canggih.

Ia turut mempunyai kapasiti maksimum 200 katil yang akan dibuka secara berperingkat. Antara kepakaran yang ditawarkan termasuk Kardiologi, Ortopedik, Perubatan Kecemasan, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Pembedahan Am dan Perubatan Dalaman.

Jururawat berkemahiran tinggi

Ketua Perkhidmatan Kejururawatan, Matron Yeap Szer Chiat, berkata pasukan jururawat CAH-BK mempunyai latihan khusus dalam pelbagai bidang kritikal.

“Jururawat kami dilatih dalam rawatan rapi, kecemasan, kardiologi dan banyak lagi. Latihan berterusan memastikan pesakit menerima rawatan berkualiti tinggi setiap masa,” katanya.

Fokus komuniti setempat

Ketua Perkhidmatan Perubatan CAHBK, Dr Lavinya Gogulanathan (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CAHBK, Mohd Shafee Awang (kanan).

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Perubatan CAHBK, Dr Lavinya Gogulanathan, berkata hospital itu turut memberi tumpuan kepada kesedaran kesihatan komuniti.

“Kami menyediakan Unit Saringan Kesihatan dengan pelbagai pakej pemeriksaan untuk pengesanan awal penyakit. Selain itu, kami komited menjalankan program kesihatan bersama komuniti Batu Kawan dan syarikat sekitar,” katanya.

Dengan kemudahan teknologi terkini seperti pengimbas CT 160-slice, mesin MRI 1.5 Tesla, mamografi dan ultrasound, CAH-BK diyakini menjadi pusat rawatan moden yang boleh dipercayai, mudah diakses dan dekat dengan komuniti.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments