Wednesday, December 17, 2025
UtamaBeritaInovasi Smart Cane Bantu OKU Penglihatan Lebih Yakin dan Berdikari

Inovasi Smart Cane Bantu OKU Penglihatan Lebih Yakin dan Berdikari

PULAU TIKUS, 6 Okt (Malaysia Aktif) – Golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan kini mampu bergerak dengan lebih yakin dan berdikari melalui penggunaan tongkat pintar atau Smart Cane, hasil inovasi pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Dibangunkan oleh Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti MBPP, Smart Cane ini dilengkapi pelbagai komponen elektronik seperti sensor ultrasonik, motor getaran, pembaz, lampu LED serta sensor suhu dan kelembapan bagi meningkatkan keselamatan pengguna semasa berjalan.

Sempena sambutan Hari Tongkat Putih Sedunia, MBPP dengan kerjasama St. Nicholas’ Home, Penang telah menganjurkan aktiviti berjalan kaki sejauh 2.5 kilometer melibatkan penyertaan 25 OKU penglihatan bersama sukarelawan dan kakitangan MBPP bagi menguji keberkesanan tongkat pintar berkenaan, di sini kelmarin.

Menurut Pengurus Besar St. Nicholas’ Home Carmen Chew Kah Mun, inovasi Smart Cane merupakan satu langkah penting dalam memperkasa mobiliti dan keyakinan OKU penglihatan.

“Tongkat ini dilengkapi sensor ultrasonik yang memberi amaran awal kepada pengguna melalui bunyi pembaz sekiranya terdapat halangan atau bahaya dalam jarak dua meter di hadapan mereka.

“Dengan rekaan yang ringan dan mudah dikendalikan, Smart Cane memberi kebebasan serta keyakinan baharu kepada pengguna untuk bergerak tanpa bergantung kepada orang lain,” katanya.

Peserta program, Kanibibi Abdul Karim, 65, meluahkan rasa gembira dan terharu dengan perhatian yang diberikan terhadap golongan OKU penglihatan.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang prihatin terhadap keselamatan kami. Dengan adanya tongkat pintar ini, saya rasa lebih selamat untuk keluar berjalan sendiri,” ujarnya.

-AA-

Sumber : Malaysia aktif

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments