KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) mengambil maklum berkenaan hantaran-hantaran media sosial berkaitan tindakan menaikkan harga oleh segelintir peniaga ketika pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sedang dijalankan ketika ini.
Menurutnya, sekiranya perkara ini berlaku, siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dilaksanakan.
“Kerajaan Madani akan menyiasat aduan bahawa terdapat kenaikan harga barang susulan pelaksanaan Penghargaan SARA. Dalam masa yang sama, kerajaan menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat,” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Tegasnya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan rasmi kepada KPDN untuk membolehkan siasatan segera dilaksanakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN di https://eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp di 019-848 8000, atau pusat talian di 1-800-886-800.
Dalam pada itu, hari kelapan pelaksanan SARA semalam berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM102.5 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat jam 9.30 malam.
Kementerian Kewangan berkata, kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9% bagi dua hari berturut-turut.
“Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tujuh hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

