BUKIT MERTAJAM, 3 September 2025 – Beberapa jalan di Seberang Jaya di sini, akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Pulau Pinang pada Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, perarakan sejauh 1.5 kilometer itu akan bermula dari Kompleks Kastam di sini menuju ke Dewan Wisma Al-Ansar, Masjid Al-Muhajirin di Seberang Jaya.
“Penutupan jalan akan bermula jam 7 pagi hingga 10 pagi melibatkan beberapa laluan utama di kawasan Seberang Jaya.
“Jalan yang terlibat ialah Jalan Perpustakaan, Lebuh Tenggiri 2, Jalan Tenggiri menuju ke Bulatan Siakap serta Jalan Siakap menuju ke Masjid Al-Muhajirin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Helmi menasihatkan orang awam serta pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif dan sentiasa mematuhi arahan polis yang bertugas di lokasi bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai demi menjaga keselamatan dan ketenteraman sepanjang perarakan berlangsung,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

