GEORGE TOWN – Hasrat Malaysia untuk muncul sebagai hab teknologi tinggi serantau diyakini mampu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara Pulau Pinang dan Sarawak yang saling melengkapi dalam industri semikonduktor.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan, Pulau Pinang sudah terbukti sebagai peneraju dalam sektor semikonduktor dan pembuatan berteknologi tinggi, manakala Sarawak mempunyai kekuatan dari aspek tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital serta komitmen terhadap pembangunan mapan.
“Pulau Pinang mempunyai kelebihan kerana menempatkan syarikat antarabangsa dengan kepakaran bertaraf dunia, infrastruktur moden dan akses pasaran global.
“Sarawak pula, mahu menjadi pelengkap kepada kepimpinan tersebut sekali gus memperkukuh keseluruhan ekosistem E&E negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Pelaburan Semikonduktor Sarawak di sebuah hotel di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, pada 28 Ogos 2025.
Forum yang dianjurkan MINTRED bersama InvestSarawak dengan sokongan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia itu menghimpunkan kira-kira 50 pemain industri dari Pulau Pinang dan Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) berkata, kolaborasi kedua-dua negeri mampu mempercepat pembangunan semikonduktor termasuk aspek penyelidikan, pembangunan (R&D) serta pembinaan bakat tempatan.
“Melalui kerjasama ini kita boleh melengkapkan rantaian bekalan global dalam semikonduktor, selain meningkatkan daya saing dengan menumpukan bidang bernilai tinggi,” ujarnya.
Sementara itu dalam ucapan, Amar Awang turut menekankan komitmen Sarawak membangunkan ekosistem semikonduktor yang bersepadu dan berdaya tahan, dengan fokus pada reka bentuk cip, semikonduktor kompaun, pembungkusan dan pengujian termaju.
“Seiring Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, kita telah melancarkan Sarawak Semiconductor Strategic Framework and Investment Roadmap 2030 dengan sasaran menarik pelaburan swasta bernilai RM2 bilion dan mewujudkan 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2030.
“Aspirasi tersebut turut disokong oleh SMD Semiconductor Sdn. Bhd. melalui pelaksanaan Semiconductor Roadmap 2030-Beyond Moore’s Law yang bakal memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai penyumbang utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

