Monday, March 9, 2026
UtamaBerita40 usahawan Sarawak ketengah produk di Pulau Pinang

40 usahawan Sarawak ketengah produk di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Produk ikonik Bumi Kenyalang seperti kek lapis, sambal tahai, lada, terung asam, gula apong, dabai serta kraf tangan kini dibawa terus ke Pulau Pinang menerusi penganjuran Showcase Usahawan Sarawak (SUS) 2025.

Pameran lima hari bermula hari ini hingga 1 September di pusat beli-belah Queensbay Mall di sini, menghimpunkan seramai 40 usahawan dari Sarawak dengan pelbagai tawaran unik.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, SUS merupakan langkah proaktif kerajaan negeri dalam membantu usahawan kecil dan sederhana menembusi pasaran lebih luas, bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.

Menurutnya, Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi SUS di luar Sarawak selepas Johor Bahru tahun lalu kerana potensi besar yang dimiliki pasaran negeri ini.

Showcase ini menjadi platform untuk mengerat dan meningkatkan rangkaian perniagaan peserta.

“Kali ini, enam syarikat dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis turut serta bagi membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana kita,” katanya ketika merasmikan SUS hari ini.

Sejak diperkenalkan pada 2024 di Miri dan Johor Bahru, serta di Bintulu tahun ini, SUS telah merekodkan nilai jualan berjumlah RM23.85 juta dengan penyertaan hampir 140 usahawan Sarawak.

Amar Awang menegaskan, kerajaan negeri turut menggalakkan usahawan mengadaptasi strategi pemasaran digital seperti e-dagang dan media sosial bagi memperluas capaian pasaran.

“Kita juga menekankan keperluan usahawan untuk mengamalkan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG).

“MINTRED bersama InvestSarawak telah bekerjasama dengan institusi kewangan termasuk Alliance Bank dan OCBC Bank bagi menyediakan green financing untuk membantu PMKS Sarawak melaksanakan amalan perniagaan lestari.

“SUS 2025 diyakini mampu membuka lebih banyak peluang jaringan perdagangan antara Sarawak dan Semenanjung sekali gus memperkukuh jenama produk tempatan di pentas global,” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber : Malaysia Gazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments