GEORGE TOWN, 6 Ogos – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan Kebangsaan bagi menangani isu perumahan mampu milik secara lebih menyeluruh dan tidak terus bergantung kepada pemaju swasta.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, agensi berkenaan boleh memanfaatkan tanah milik kerajaan serta pihak berkuasa tempatan bagi membina rumah mampu milik yang benar-benar menepati keperluan golongan B40 dan M40.
Beliau turut menyambut baik cadangan penggunaan teknologi seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pengurusan Bersepadu Bangunan (BIM) yang menurutnya mampu mempercepatkan pembinaan dengan kos yang lebih rendah.
“CAP juga menyokong peluasan skim seperti Jaminan Kredit Perumahan dan program Sewa Untuk Milik kerana ia membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
“Golongan B40 tidak boleh dibiarkan terus menyewa dalam keadaan tidak menentu dengan risiko berpindah atau berdepan kenaikan sewa mendadak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Mohideen menyifatkan peruntukan besar kerajaan bagi pembangunan infrastruktur dan keperluan asas sebagai langkah tepat, namun menegaskan keperluan pemantauan ketat agar tidak berlaku pembaziran.
“RM227 bilion telah diperuntukkan, antaranya bagi pengangkutan awam, perumahan dan mitigasi banjir.
“Kerajaan mesti pastikan semua projek dilaksanakan secara telus dan menerusi tender terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohideen turut menekankan kepentingan pembaharuan sistem pengangkutan awam negara yang menurutnya semakin ketinggalan dan mendorong rakyat bergantung kepada kenderaan sendiri.
“Kita cadangkan supaya sistem pengangkutan dilengkapkan dengan sambungan awal dan akhir perjalanan (first and last mile connectivity) melalui konsep Transit Responsif Permintaan (DRT).
“Sistem seperti ini bukan sahaja memudahkan pengguna, malah dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian serta mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

