GEORGE TOWN, 1 Ogos – Pulau Pinang bakal menjadi pusat tumpuan apabila menjadi ‘tuan rumah’ bagi penganjuran AI Horizon 2025, sebuah acara kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) yang akan menghimpunkan lebih 100 syarikat berasaskan teknologi terkini, daya cipta dan bakat muda dari seluruh negara pada 8 dan 9 Ogos ini di Arena SPICE dekat Bayan Lepas.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, penganjuran AI Horizon 2025 dijangka menjadi pemangkin utama dalam mempercepat pembangunan bakat AI selaras dengan agenda digital negara dan aspirasi Pulau Pinang sebagai hab teknologi dan inovasi terulung di rantau ini.

“Penganjuran AI Horizon 2025 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama erat pelbagai agensi Persekutuan dan Negeri termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), HRD Corporation, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Penang STEM.
“Penganjuran ini juga mencerminkan sinergi yang kuat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, para pemain industri serta institusi pendidikan yang semuanya bersatu membina kesedaran, bakat dan kesiapsiagaan negara dalam bidang AI ini,” ujarnya pada sidang media di Komtar, hari ini.
Tambah beliau, acara ini dijangka menjadi antara platform AI terbesar dan paling bermak di Malaysia dengan penglibatan lebih 100 organisasi, termasuk Micron selaku penaja bertaraf platinum, Jabil dan NationGate (penaja emas) serta Intel, Elliance, A2 Automation dan eCloudValley (penaja perak).
Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa penganjuran AI Horizon 2025 memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama yang membentuk platform holistik bagi menghubungkan teknologi, pendidikan dan inspirasi.

“Pertama, kita adakan Industry AI & Application Expo yang menghimpunkan lebih 50 syarikat tempatan dan antarabangsa dalam satu pameran terbuka bukan sahaja mempamerkan teknologi canggih, tetapi juga mendekatkan pelajar, keluarga dan komuniti kepada aplikasi AI sebenar.
“Kedua, AI Conference yang berlangsung selama dua hari menampilkan lebih 25 penceramah dari Malaysia, Singapura dan China, merangkumi topik seperti strategi nasional AI, keselamatan siber, automasi, pertanian, pendidikan dan banyak lagi.
“(Dan) ketiga, kita raikan kreativiti belia menerusi AI Genius Competitions, iaitu lima kategori pertandingan terbuka kepada pelajar dan jurutera muda, termasuk cabaran pengekodan, video generatif AI dan projek impak sosial dengan peluang ke peringkat antarabangsa melalui Intel AI Global Impact Festival,” katanya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi.
Tambahnya lagi, Pulau Pinang tidak mahu hanya dilabel sebagai “Silicon Valley of the East”, sebaliknya mahu dikenali sebagai “Silicon Valley of Talent” yang membina asas kemahiran dan inovasi jangka panjang untuk negara.
“Ramai tahu Pulau Pinang negeri kedua terkecil di Malaysia, tetapi kita antara penyumbang tertinggi cukai kepada Kerajaan Persekutuan sekitar RM7 bilion setiap tahun.
“Kita tidak mahu hanya terkenal kerana infrastruktur, tetapi juga kerana bakat dan kemahiran,” jelasnya.
Jagdeep turut menekankan kepentingan generasi muda dalam meneruskan kesinambungan pembangunan sains dan teknologi di Pulau Pinang.
Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: LAW SUUN TING
Sumber : Buletin Mutiara